Setiausaha Akhbar MB Negeri Sembilan buat laporan polis

Mohd Faiz (tengah) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini terhadap empat pemilik akaun Facebook.
Mohd Faiz (tengah) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini terhadap empat pemilik akaun Facebook.
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Faiz Abdullah membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook berhubung tuduhan fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit yang mengeluarkan kenyataan melampau terhadap pemimpin utama negeri ini berkenaan isu solat Subuh.

"Saya mewakili Menteri Besar membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook itu yang didapati memuat naik status berunsur fitnah yang saya sifatkan sebagai tuduhan melampau sehingga melibatkan isu agama.

"Saya pernah membuat laporan polis atas fitnah sama yang dilemparkan terhadap Menteri Besar pada 8 Februari tahun lalu. Tapi nampaknya selepas setahun ia ditimbulkan semula oleh pihak lain sedangkan pada kali pertama, Menteri Besar sudah pun memaafkan perbuatan mereka," katanya ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya kesal apabila fitnah terhadap pemimpin utama negeri itu semakin menjadi-jadi sekaligus menimbulkan persepsi negatif.

Jelas Mohd Faiz, beliau tidak pasti apa motif pihak terbabit yang nyata tidak takut dengan undang-undang kerana sewenang-wenangnya menabur fitnah.

Katanya, Menteri Besar tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan tindakan saman terhadap individu terbabit sebagai pengajaran.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap berita atau maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya atau memberi komen.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!