Pelantikan Azmin tidak beri masalah kepada Pas - Idris Ahmad

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa Pas tidak selesa dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN adalah cubaan untuk memecahbelahkan gabungan itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sumber yang membuat dakwaan tersebut tidak boleh dipercayai kerana pelantikan Azmin tidak memberi sebarang masalah kepada Pas.

"Sumber itu sentiasa mahu memecahbelahkan kami. Kami padu, kami sekarang berusaha untuk nak memastikan supaya kami terus padu.

"Kami tidak ada masalah apa, bila dia (Azmin) dilantik. Yang diumumkan (mungkin) Setiausaha Agung Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Muhyiddin mengesahkan Azmin akan dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan PN, malah pengumuman rasmi mengenainya bakal dibuat dalam masa terdekat.

Susulan itu, terdapat dakwaan perkara tersebut mengundang rasa tidak senang Pas kerana pengumuman Azmin bagi jawatan tersebut dibuat tanpa rundingan.

Sementara itu, Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Rosol Wahid berkata, apa yang diumumkan Muhyiddin mungkin hanya di peringkat cadangan sebelum disahkan dalam mesyuarat Bersatu dan PN.

"Kita tunggu selepas mesyuarat (Bersatu, PN),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!