Vaksin Covid-19: 8 individu saman kerajaan Malaysia, WHO RM60 juta
KUALA LUMPUR - Lapan individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini dan menuntut RM60 juta terhadap 25 pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Lapan individu terbabit ialah Danial Adham Saifulbahri, 26; Othman Gabil, 77; pekerja pembersihan rumput, Jamalludin Mohamad, 65; tukang urut, Nor Jeriah Lokoman, 54; suri rumah, Azimiyah Yaakob, 51; kakitangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Izuan Asrul Abd Rahman, 35; penyelia Parkson Corporation Sdn Bhd, Najwa Yahaya, 46, dan Dr Yong Yean Sirn, 75.
Mereka selaku plaintif pertama hingga ke lapan memfailkan saman itu pada 23 Oktober lalu, menerusi Tetuan Mohamad Zainuddin & Co.
Mereka menamakan Muhyiddin (Perdana Menteri kelapan), Ismail Sabri (Perdana Menteri kesembilan), Anwar (Perdana Menteri kesepuluh), bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku defendan pertama hingga kelapan.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa; bekas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah; selaku selaku defendan kelapan hingga ke-14.
Sementara defendan ke-15 hingga ke-25 ialah Permodalan Nasional Berhad, ASNB, Parkson Corporation, Public Utilities Board (Singapore), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Malaysia, Pfizer Inc, Pfizer Malaysia Sdn Bhd, Sinovac Biotech Ltd. (Beijing), Tedros Adhanom Ghebreyesus dan WHO.
Lapan plaintif ini menuntut ganti rugi am, khas dan tauladan sebanyak RM60 juta dengan mendakwa mendakwa vaksinasi Covid-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan yang teruk.
Menerusi dokumen yang difailkan, plaintif pertama, kedua dan kelapan mendakwa ahli keluarga mereka meninggal dunia manakala plaintif ketiga hingga kelima mengalami masalah selepas mengambil vaksin itu.
Plaintif keenam dan ketujuh mendakwa telah menjadi mangsa diskriminasi perubatan kerana menolak mengambil vaksin.
Plaintif mendakwa defendan membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik Covid-19 pada 11 Mac 2020, kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota termasuk Malaysia supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Plaintif berkata, hanya vaksin eksperimen bertoksik disyor, telah digunakan untuk menangani pandemik.
"Semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan Covid-19 dan keselamatan vaksin eksperimen ini.
"Defendan menggunakan pengaruh tidak adil, penipuan, salah pernyataan, penindasan fakta dan kekurangan pendedahan sepenuhnya untuk mendapatkan persetujuan orang ramai bagi apa yang mereka gambarkan sebagai vaksin eksperimen bertoksik," kata plaintif.
Susulan itu, plaintif memohon mahkamah mengisytiharkan Covid-19 sebagai palsu dan pandemik senjata biologi buatan manusia dicipta, menyerupai selesema bermusim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!