Royalti minyak: Dewan Pemuda Pas bidas Amanah Terengganu

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Amanah Terengganu mengenai royalti minyak di Terengganu.
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Amanah Terengganu mengenai royalti minyak di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda Pas Terengganu membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berhubung royalti minyak bukan hak mutlak Terengganu.

Ketua Penerangannya, Irsyad Syafiq Berhanuddin menyifatkan kenyataan itu sebagai kurang cerdik serta tidak menghormati hak federalisme di Malaysia.

"Jika Terengganu tiada hak maka kenapa perjanjian antara Petronas dan kerajaan Terengganu dibuat pada 22 Mac 1975 yang menyatakan pada perkara bahawa Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5 peratus dari nilai petroleum yang didapati di Terengganu.

"Dan ia dijual oleh Petronas atau ejen-ejen atau kontraktor- kontraktor dalam tempoh yang diperuntukkan dalam Fasal 2. Kenapa tidak dibuat terus dengan kerajaan persekutuan? Atau tidak perlu dibuat terus perjanjian ini?.

"Ini membuktikan bahawa hasil petroleum yang dimaksudkan dalam perjanjian itu adalah hak milik negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Irsyad Syafiq berkata, Akta Kemajuan Petroleum 1974 pula menyatakan persetujuan kepada negeri-negeri yang mempunyai hasil petroleum supaya diserahkan pengurusan hasil itu kepada Petronas.

"Ia terkandung dalam (1) seluruh pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia hendaklah diletakhakkan pada suatu Perbadanan yang akan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pemerbadanan syarikat.

"(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 22 Akta Syarikat 1965, yang berhubungan dengan nama syarikat, Perbadanan itu hendaklah dinamakan Petroleum Nasional Berhad atau ringkasnya Petronas.

Artikel Berkaitan:

"Jadi secara asasnya perjanjian 1975 adalah sebagai membalas budi kepada Terengganu kerana memberikan kuasa kepada Petronas untuk memproses hasil petroleum dengan bayaran royalti sebanyak 5 peratus sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Irsyad Syafiq turut mempersoalkan kepimpinan Amanah yang sebelum ini sangat memperjuangkan isu royalti di Terengganu kini tidak lagi berbuat demikian selepas mendapat kuasa.

"Kenapa sebelum menjadi kerajaan Persekutuan, pimpinan Amanah yang paling hebat kononnya memperjuangkan isu royalti di Terengganu?.

"Apakah ketika itu pimpinan Amanah tak membaca atau jahil tentang undang-undang yang ada berkenaan perkara tersebut.

"Apa yang lebih jelas bahawa royalti pada pandangan Amanah dan Pakatan Harapan adalah perjuangan untuk menarik undi semata-mata. Setelah mendapat kuasa, matilah ia tanpa kubur dan nisan," dakwanya.

Justeru, Irsyad Syafiq berkata, berbeza dengan Pas yang masih berjuang untuk mengembalikan hak royalti tersebut kembali pada Terengganu.

"Ia adalah perjuangan mengembalikan hak kepada rakyat dan selagi tidak dikembalikan maka selagi itulah perjuangan ini akan diteruskan," jelasnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir menyatakan Terengganu sejak dari awal tidak pernah mempunyai hak terhadap royalti minyak sebaliknya ia merupakan wang ehsan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat di Terengganu.

Muammar Qaddafi menjelaskan sama ada ia ditermakan sebagai royalti ataupun wang ehsan, kedua-keduanya adalah pemberian wang ehsan daripada Perdana Menteri berikutan minyak yang dijumpai di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Pada Ahad, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ehsan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti kepada negeri itu.

Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut 'case-by-case'.

-- TAMAT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!