[VIDEO] BNM perlu siasat kenaikan caj premium insurans sehingga 70 peratus
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyiasat dan mengkaji semula syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan caj premium antara 40 hingga 70 peratus.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM tidak sepatutnya ‘lepas tangan’ hanya kerana ia keputusan perniagaan dibuat syarikat insurans kesihatan.
Menurut beliau, umum mengetahui kenaikan kadar premium insurans kesihatan amat berkait rapat dengan caj hospital swasta yang melambung tinggi sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Caj hospital swasta tidak terkawal ini menjadi beban buat syarikat insurans. Kini, mereka lepaskan beban tersebut kepada pencarum golongan M40 dan ke atas serta segelintir B40. Rakyat mencarum kerana mahukan perkhidmatan swasta terbaik dengan kos munasabah.
"Apabila premium insurans naik mendadak, pengguna berhenti mencarum dan kembali ke hospital kerajaan. Ia secara tidak langsung menambah beban buat hospital kerajaan, malah tempoh menunggu lebih lama.
"Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh siasat mengenai kaut keuntungan berlebihan ke atas kenaikan contohnya telur 10 sen sebiji, mengapa BNM tidak boleh," katanya ketika sidang media di Parlimen pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan bakal membawa pendekatan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai bagi menangani isu caj hospital swasta yang dilaporkan semakin meningkat.
Jelas beliau, di bawah pendekatan itu, pesakit membayar berdasarkan kualiti perkhidmatan berbanding ‘fee-for-service’.
Katanya lagi, di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya berhak mengawal yuran konsultasi dikenakan pakar perubatan, tetapi tidak berkuasa tentang penentuan caj lain.
Sim Tze Tzin berpandangan, ekosistem kesihatan swasta saling berhubung kait dengan sistem kesihatan awam yang dibiayai KKM dan Kerajaan Persekutuan.
Justeru, menurutnya, penglibatan BNM dalam isu tersebut amat diperlukan selain mengadakan sesi dialog dengan pemain industri termasuk Persatuan Hospital Swasta Malaysia.
"Saya juga amat kesal dengan kenyataan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan sebagai tidak sangsi dan berpatutan.
"Beliau cuba menegakkan benang yang basah. Bagaimanapun, saya menyambut baik kenyataan Dr Dzulkefly mengenai konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai ‘value-based healthcare’, saya harap ia berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!