Kedai runcit sorok minyak masak peket diserbu
LUMUT - Padah menyorok minyak masak subsidi untuk dijual kepada pelanggan tertentu, sebuah kedai runcit di Sitiawan di sini, dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Rabu.
Serbuan dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung sekitar jam 11 pagi selepas menerima aduan orang awam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan diterima memaklumkan premis berkenaan dipercayai hanya menjual minyak masak peket satu kilogram (kg) kepada peniaga restoran berhampiran.
"Bagi mengesahkan maklumat tersebut, satu tindakan operasi penyamaran melalui Op Samar telah dilakukan dengan membuat uji beli barangan tersebut.
"Hasil uji beli didapati peniaga telah menafikan mempunyai barang kawalan tersebut dan memaklumkan bahawa bekalan minyak masak peket satu kg sudah habis.
"Curiga dengan kenyataan tersebut, satu pemeriksaan dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa beruniform dan berjaya menemui 82 peket minyak masak satu kg di stor premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, tindakan telah diambil dengan menyita kesemua minyak masak tersebut dengan anggaran nilai RM205.
Jelas Kamalludin, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!