Keputusan gali semula kubur bapa lelaki Hindu ditetapkan 20 Disember

Roseli Mahat ditemui pemberita di luar Mahkamah Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.
Roseli Mahat ditemui pemberita di luar Mahkamah Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 20 Disember depan keputusan permohonan seorang lelaki beragama Hindu, Roseli Mahat untuk menggali semula kubur bapanya yang telah dikebumikan secara Islam tujuh tahun lalu.

Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak plaintif dan responden pada prosiding yang bermula jam 3 petang.

Pada prosiding berkenaan, peguam plaintif, S Karthigesan mempersoalkan bagaimana bapa plaintif dikatakan sebagai Muslim sedangkan dalam rekod afidavit jawapan bagi saman pemula responden pertama dan kedua tidak dinyatakan mengenai itu.

Zainul Rijal (kiri) bersama barisan peguam ketika di luar Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.
Zainul Rijal (kiri) bersama barisan peguam ketika di luar Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu.

"Tarikh kematian pada 9 September 2017 dan dinyatakan keturunan Mahat Sulaiman adalah Cina dan maklumat agamanya tidak diperolehi.

"Kesemua ini adalah 'triable' isu. Macam mana boleh dikatakan Muslim sedangkan dalam rekod tidak dinyatakan dia Muslim melainkan dalam kad pengenalan yang dikatakan ada perkataan Islam," katanya.

Ujarnya lagi, jika dirujuk pada kesemua sijil kelahiran anak-anak si mati juga tiada dinyatakan beragama Islam.

Menjawab hujahan itu, peguam yang mewakili kerajaan negeri, Amalina Zainal Mokhtar berkata, tindakan plantif untuk mendapatkan perintah penggalian semula kubur bapanya dianggap sudah lewat.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pemohon (plaintif) adalah tiga tahun atau 36 bulan dari tarikh tersebut (kematian dan kebumi). Maknanya tempoh had masa tersebut yang menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 telah berakhir pada 8 September 2020.

"Telah berlaku kelewatan untuk memfailkan tindakan ini yang mana pemohon hanya memfailkan tindakan ini pada 31 Julai 2023 dan telah berlaku kelewatan yang sangat jelas permohonan pemohon tidak boleh dipertahankan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah membangkitkan dua isu dalam hujahan balas yang mana isu keislaman di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan si mati tidak pernah mempertikaikan status agama Islam sepanjang hayatnya.

Zainul Rijal berkata, ini berdasarkan kenyataan peguam yang mewakili plaintif yang mendakwa data keislaman pada kad pengenalan si mati yang dikeluarkan pada 15 Ogos 2018 tertera perkataan Islam.

"Jadi, sekiranya si mati mempertikaikan keislamannya maka dia hendaklah memfailkan petisyen ketika itu untuk mengklasifikasikannya bukan beragama Islam tetapi ia tidak dilakukan," katanya.

Jelas Zainul Rijal, berdasarkan Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam, definisi orang Islam ialah orang yang menganut agama itu dan salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya pada masa kelahiran adalah orang Islam.

"Seterusnya, seorang yang lazim dikenali sebagai orang Islam iaiu nama si mati (Mahat Sulaiman) lazim dikenali sebagai orang Islam," katanya.

Tambah beliau, semasa pengurusan jenazah si mati yang dibuat pada 9 September 2017, anak-anaknya hadir dan ada perjumpaan sebelum akhirnya diputuskan si mati dikebumikan sebagai Islam dan sehingga kini tiada permohonan semakan difailkan oleh mana-mana waris si mati.

MAINS turut diwakili peguam Muhammad Hafiz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal, Nur Fatin Syakinah Kamarudin dan Noor Syazwani Mohamad Yusri.

Selain Karthigesan, plaintif turut diwakili K Kanagavalli, M Ranunhadevi dan Nik Auni Syahirah Nik Azizi

Pada 31 Julai tahun lalu, plantif iaitu Roseli Mahat telah memfailkan saman pemula bagi memohon untuk menggali semula jenazah bapanya, Mahat, yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, di sini.

Plaintif yang berusia 52 tahun itu mendakwa bapanya mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada tahun 1941.

Roseli mendakwa dia dan lima lagi adik-beradiknya adalah hasil perkahwinan Mahat dengan seorang wanita berketurunan India.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!