Cawangan Provos Marsyal TUDM siasat kes kematian pelatih Palapes UiTM
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan pada Rabu berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"ATM mengambil maklum berkenaan laporan berita yang disiarkan oleh media dalam talian berkenaan dakwaan seorang bapa terhadap kematian anaknya sewaktu melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).
"ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kes tersebut," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terbabit jika terbukti bersalah.
"Masyarakat digesa memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
"Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang dilaksanakan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum daripada semasa ke semasa.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang pelatih Palapes universiti berkenaan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa pelatih terbabit juga mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.
Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!