Pindah tanpa permit, lebih 300 tan padi dari Selangor disita

Pemeriksaan lanjut dilakukan pada jam 2.30 petang selepas menerima aduan pada Isnin. FOTO Kawalselia Padi dan Beras negeri Kedah.
Pemeriksaan lanjut dilakukan pada jam 2.30 petang selepas menerima aduan pada Isnin. FOTO Kawalselia Padi dan Beras negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 300 tan padi disita oleh Kawalselia Padi dan Beras negeri Kedah di sebuah kilang di Kuala Kedah selepas didapati melakukan pemindahan tanpa permit pada Isnin.

Pengarahnya, Mohamad Nornizam Ramly berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan pada jam 2.30 petang selepas menerima aduan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati padi pukal seberat kira-kira 307,591.20 kilogram (kg) di dalam kilang tersebut dibeli dari Selangor.

"Pasukan penguatkuasa meminta dokumen berkaitan padi dalam milikan kilang tersebut untuk semakan lanjut. Namun, pemilik kilang gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

"Mengesyaki kilang tersebut telah melakukan kesalahan, anggota Kawalselia Padi dan Beras bertindak menyita padi di kilang dengan anggaran hasil sitaan sebanyak RM399,868," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Sekatan Pemindahan Antara Negeri) 1997 P.U (A) 31 Akta 522 Akta Kawalan Padi dan Beras.

Jika didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!