Kawasan projek ECRL banjir: MOT arah MRL segera laksana pelan mitigasi
KUALA LUMPUR - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) diarahkan agar segera melaksanakan pelan mitigasi bagi menyelesaikan masalah banjir di sekitar kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau mengambil maklum isu berkenaan ketika kebanyakan negeri terutama di Pantai Timur dilanda banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) pada masa ini.
"Sekarang ini memang musim banjir saya tahu dan ucapkan simpati saya kepada rakyat Pantai Timur khususnya dilanda banjir besar ketika ini.
"Memang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pun terjejas baru saya dapat laporan tadi, landasan KTMB dibanjiri... tidak boleh bergerak lalu landasan kereta api.
"Jadi, kalau mana-mana kawasan yang dikatakan banjir sebab projek ECRL, saya minta pihak MRL untuk turun secepat mungkin dan buat segera kerana kita ada mitigasi bagaimana membuat tebatan banjir supaya isu ini dapat diselesaikan dan meringankan beban rakyat di sekeliling kawasan projek itu," katanya ketika sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi MOT di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Anthony berkata demikian sebagai reaksi terhadap Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta beliau turun padang melihat isu banjir di sekitar jajaran ECRL.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau juga kerap turun padang memantau projek berkenaan termasuk jajaran di sekitar negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Semua saya turun, bukan negeri Kerajaan Perpaduan sahaja," katanya.
Terdahulu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dalam Perbahasan RUU Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi MOT turut membangkitkan projek ECRL yang didakwa menjadi punca banjir teruk di Pasir Puteh, Kelantan
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeru (ADUN) Limbongan, Nor Asilah Mohamed Zin dilaporkan berkata, kawasan itu termasuk di DUN Selising dan Gaal juga terjejas akibat terowong ECRL ditakungi air.
Jumaat lalu, media melaporkan lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh terjejas apabila terowong pembinaan ECRL di kampung berkenaan ditakungi banjir akibat hujan lebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!