Suruhanjaya Tinggi pantau pergolakan di Pakistan, pastikan keselamatan rakyat Malaysia

Wisma Putra.
Wisma Putra.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad memantau dengan teliti keadaan di ibu negara Pakistan susulan pergolakan yang dikaitkan dengan protes oleh penyokong bekas perdana menteri Imran Khan yang dipenjarakan.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Suruhanjaya Tinggi sedang giat berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas.

Usaha juga sedang dijalankan untuk membantu rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Chilas, dengan 32 individu kini dalam perjalanan ke Bersham berikutan keadaan di kawasan itu yang semakin pulih.

"Suruhanjaya Tinggi bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kepulangan mereka berjalan dengan selamat dan terjamin," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas digesa untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi panduan daripada pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang belum berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi amat digalakkan untuk berbuat demikian melalui e-Konsular (https://ekonsular.kln.gov.my/login) untuk memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan tepat pada masanya.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi di talian +92 51 207 2900 ext. 123 atau 125, atau melalui e-mel di mwislamabad@kln.gov.my.

Pada Selasa, Suruhanjaya Tinggi mengeluarkan nasihat perjalanan berikutan protes yang semakin sengit di Islamabad. Penyokong Imran Khan telah mengadakan perarakan ke arah D-Chowk, dataran di luar bangunan parlimen, menuntut pembebasannya.

Artikel Berkaitan:

Empat anggota keselamatan dilaporkan terbunuh dalam serangan pada Isnin, yang dikaitkan oleh kerajaan dengan penyokong bekas perdana menteri itu.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif telah berikrar untuk menangani penunjuk perasaan dengan tegas jika mereka cuba mengadakan demonstrasi di kawasan larangan di ibu negara.

Rakyat Malaysia di Pakistan telah dinasihatkan untuk berhati-hati, mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan mematuhi peraturan tempatan untuk keselamatan mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!