Rasuah: Koperal polis dihukum penjara tiga tahun, denda RM80,000

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal yang didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM16,000 dua tahun lepas.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal yang didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM16,000 dua tahun lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal yang didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM16,000 dua tahun lepas.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud juga memerintahkan Azrol Khalil, 37, dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Ketika membaca penghakimannya, Awang Kerisnada berkata, mahkamah mendapati Azrol tidak amanah apabila memperoleh wang secara rasuah dan oleh itu, dia tidak layak memakai uniform pasukan keselamatan.

"Tertuduh sebagai anggota polis mengugut mangsa untuk membayar sejumlah wang rasuah, semua ini dilakukan kerana tertuduh mempunyai kedudukan sebagai anggota polis, ini bermakna tertuduh tidak menjalankan amanah.

"Tertuduh telah menyalahgunakannya dengan mengugut orang awam yang sedang menghadapi satu penyiasatan maka tertuduh tidak layak mengenakan uniform polis disebabkan tindakannya itu," katanya.

Azrol didakwa menerima wang tunai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan untuk menutup kes jenayah komersial terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima, Sri Gombak, Batu Caves pada 7 Feb 2022 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam P.G. Cyril yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM10,000 daripada RM8,000.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Cyril memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum terhadap Azrol kerana ini adalah kesalahan pertama dan anak guamnya telah digantung tugas dengan separuh gaji berbanding gaji asal RM2,700 sebulan selain tertuduh perlu menanggung isteri serta anak.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai isyarat kepada orang awam supaya tidak terlibat dengan jenayah itu.

"Ini juga selaras dengan dasar perangi rasuah. Tertuduh telah menggunakan nama-nama pegawai atasannya dan ini merosakkan nama Polis Diraja Malaysia," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!