Penunggang motosikal tiada lesen memandu kesalahan paling tinggi
JOHOR BAHRU – Sebanyak 15,904 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal di seluruh negeri bermula 1 hingga 26 November lalu.
Menurut Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan, antara kesalahan yang dikenal pasti sepanjang Ops Khas berkenaan melibatkan tiada lesen memandu kompeten (CDL), yang menjadi kesalahan tertinggi dengan merekodkan 3,428 saman dikeluarkan.
Beliau berkata, selain itu Ops Khas berkenaan turut merekodkan saman melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh berjumlah 2,344; kesalahan teknikal (3,065); tiada insurans atau tiada LKM (2,255) dan 4,812 saman bagi lain-lain kesalahan.
“Melalui analisis data OPS Khas Motosikal ini, JPJ Johor mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan kesalahan jalan raya masih berada pada skala rendah.
“Ini dapat diperhatikan di mana, sejumlah 3,428 iaitu 22 peratus kegagalan memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan sejumlah 2,255 (14 peratus) tiada perlindungan insurans serta 2,344 (15 peratus) gagal memperbaharui/tiada LKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Untuk rekod, sebanyak 28,158 motosikal dperiksa di sepanjang operasi berkenaan.
“JPJ Johor juga mengesan dan mengambil tindakan sitaan sebanyak 572 motosikal atas kesalahan tidak selamat dan tidak layak berada di atas jalan raya,” ujarnya.
Sementara itu Azmil berkata, operasi berkenaan turut memberikan fokus kepada pengesanan dan penilaian dari segi pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan.
Malah, fokus juga diberikan terhadap kenderaan supaya di pandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan terus dilakukan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!