Henti carum insurans kesihatan
SHAH ALAM - Seorang pekerja swasta mengakui sudah lama berhenti membayar pelan premium insurans sekitar 10 tahun lalu dan kini beralih ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya yang hanya ingin dikenali sebagai Nur Azma, dia mula mencarum insurans kesihatan pada kadar RM130 sebulan.
Bagaimanapun, apabila berlaku kenaikan inflasi kos perubatan saban tahun sehingga memberi dampak kepada pertambahan caruman bulanan, hasrat untuk meneruskannya terhenti begitu sahaja.
“Walaupun ia pelan lama, saya perlu perbaharui dan bayar RM220. Jadi, saya ambil keputusan tidak teruskan (carum).
“Saya ambil (pelan premium) ketika mula bekerja. Sekarang, kalau sakit, nak dapatkan rawatan atau ubat, saya ke hospital kerajaan.
“Ketiga-tiga anak saya pun ke klinik atau hospital kerajaan. Kalau klinik swasta, saya guna panel syarikat,” katanya.
Tambah Nur Azma, anak keduanya dilahirkan dalam keadaan pra-matang dan dia pernah memasang niat untuk membiayai insurans, namun kadar caruman agak mahal, tidak setimpal dan mungkin tidak mendapat perlindungan penuh.
“Pada pendapat saya, tidak patut kalau kadar premium insurans dinaikkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!