PREC santuni 167 anak yatim menerusi Konvoi Kembara PREChatin X YIDE
SHAH ALAM - PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menyantuni 167 anak yatim di empat buah rumah kelolaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerusi Konvoi Kembara PREChatin X YIDE 2024.
Pengurus Besar Kewangan Korporat dan Strategi PREC, Netty Hezreena Abd Malek berkata, ia salah satu inisiatif yang dianjurkan dengan kerjasama dan khidmat nasihat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyampaikan bantuan kepada insan memerlukan melalui cara agihan wakalah zakat.
Menurut beliau, program melibatkan peruntukan sebanyak RM93,750 itu amat istimewa kerana ia adalah kolaborasi pertama pihaknya dengan YIDE.
“Konvoi Kembara PREChatin tahun ini juga pertama kali diadakan selain Ramadan kerana bagi kami, tanggungjawab untuk menyantuni anak yatim bukan sekadar rutin bulan puasa, namun ia perlu dibuat secara konsisten.
“Anak yatim perlu disantuni pada bulan-bulan lain, jadi PREC mengambil tanggungjawab ini untuk mengisi ‘kekosongan’ mereka.
“Kami turut menyampaikan sumbangan melalui peruntukan wakalah zakat sebanyak RM20,000 kepada YIDE bagi membina Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Konvoi Kembara PREChatin X YIDE 2024 di Pusat Beli Belah SACC, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah; Ketua Jabatan Pengurusan Muzakki dan Komunikasi LZS, Khairul Azhan Ahmat serta kakitangan anak syarikat PREC merangkumi Park Here Sdn Bhd, Central Holdings Berhad dan Elit Hartanah PHE Sdn Bhd.
Empat rumah anak yatim yang terlibat ialah Rumah Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu serta Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Hasanah.
Netty Hezreena memaklumkan, pihaknya akan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan asas dan perkakas elektrik bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian.
Tambahnya, PREC turut memberikan duit poket kepada setiap penghuni dan penjaga rumah anak yatim tersebut bagi mengekalkan tradisi konvoi kembara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!