Sandiwara Sara Duterte 'makan diri'

Duterte (kiri) dan Marcos Jr pernah menjadi sekutu ketika Pilihan Raya Presiden 2022.
Duterte (kiri) dan Marcos Jr pernah menjadi sekutu ketika Pilihan Raya Presiden 2022.
A
A
A

MANILA – Sejak akhir minggu lalu, Filipina kecoh dengan soap opera melibatkan dua pemimpin politik paling berkuasa di negara itu.

Presiden Ferdinand Marcos Jr yang dikenali sebagai individu soft-spoken pada Isnin menegaskan beliau akan bersemuka dengan Naib Presiden, Sara Duterte selepas mengeluarkan ugutan bunuh ke atasnya dan dua ahli keluarganya yang lain.

Marcos Jr, 67, yang mesra disapa Bongbong itu turut memberi lampu hijau kepada siasatan terhadap ancaman tersebut dan menyifatkan plot jenayah seperti itu tidak wajar dipandang ringan.

Pihak berkuasa bertindak segera menyiasat ugutan tersebut malah tentera berikrar untuk kekal taat setia kepada Marcos Jr.

Duterte, 46, mencetuskan 'melodrama' antara dua dinasti berpengaruh tersebut setelah Ketua Turus beliau, Zuleika Lopez ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan Kongres terhadap kemungkinan penyalahgunaan bajet ketika beliau memegang jawatan Setiausaha Pendidikan sehingga Jun lalu.

Ia melibatkan dana rahsia berjumlah 612.5 juta peso (RM50.8 juta) yang diberikan Pejabat Naib Presiden dan Jabatan Pendidikan pada 2023.

Duterte berterusan mengelak untuk menjelaskan butiran tentang perbelanjaan dana itu malah menuduh siasatan tersebut sebagai penindasan politik oleh musuhnya.

Artikel Berkaitan:

Filipina kecoh dengan soap opera melibatkan dua pemimpin politik paling berkuasa di negara itu.
Filipina kecoh dengan soap opera melibatkan dua pemimpin politik paling berkuasa di negara itu.

Sebelum ini, bapanya, Rodrigo yang merupakan pendahulu kepada Marcos Jr juga berdepan siasatan Kongres berhubung perang dadah kontroversi pada 2016-2022 yang turut didakwa sebagai jenayah kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Setelah menggemparkan seluruh negara dengan ugutan bunuh itu, Duterte dengan selamba menyatakan ia hanyalah ancaman olok-olok.

“Jika diteliti dengan betul, naratif itu hanyalah sandiwara dan tidak wajar diambil serius.

“Tiada sebab untuk saya membunuh beliau dan apa manfaatnya kepada saya,” katanya yang secara tiba-tiba turut mengungkit pembunuhan bekas Senator, Benigno Aquino yang juga pengkritik lantang diktator, Ferdinand Marcos pada 1983 dan mengaitkan insiden tersebut dengan keluarga Marcos tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Tetapi, apakah motif sebenar Naib Presiden itu membuat ancaman sedemikian.

SOKONGAN MEROSOT

Profesor Sains Politik di Ateneo de Manila University, Arjan Aguirre berkata, Duterte berasa Marcos Jr 'berhutang' jawatan Presiden kepadanya.

“Beliau pernah menjadi pencabar utama pada Pilihan Raya Presiden 2022, namun bersetuju untuk menjadi pasangan regunya, sekali gus membenarkan Marcos Jr memanfaatkan sokongan meluas keluarganya bagi merealisasikan kemunculan semula dinasti Marcos yang pernah digulingkan lebih tiga dekad lalu,” katanya kepada The Straits Times.

Drama dicetuskan Duterte juga bertujuan untuk membangkitkan kemarahan kira-kira 32 juta penyokong beliau yang pernah mengundinya, dua tahun lalu.

Menurut Profesor Jean Encinas-Franco di University of the Philippines, Marcos Jr hanya meraih 31 juta undi sokongan pada pemilihan tersebut.

Duterte menggunakan 'strategi penuh kejutan' seperti diguna pakai bapanya termasuk menggunakan media untuk menuai kontroversi.

“Duterte mahu rakyat menyaksikan beliau sedang 'berjuang' menentang penindasan politik, namun tidak mahu dilihat sebagai mangsa,” jelas Encinas-Franco.

Duterte berhasrat menggunakan pengaruh dan popularitinya yang lebih tinggi berbanding Marcos Jr.

Oleh sebab itu, beliau melancarkan 'serangan melulu' tersebut, namun pemimpin wanita itu tersalah percaturan kerana sokongan ke atasnya mula merosot berikutan rakyat sudah muak dengan drama berkenaan.

“Duterte perlu berhati-hati. Jika tersilap langkah, ia boleh menjejaskan cita-citanya untuk merebut jawatan Presiden pada 2028,” ujarnya lagi.

Ketika elit politik Filipina sibuk bermain Game of Throne (Permainan Takhta), rakyat pula akan menuntut akauntabiliti daripada pemimpin yang menjanjikan kehidupan lebih baik dengan menyatukan negara tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang hanyalah drama perebutan kuasa dua pakatan yang telah runtuh. Rakyat sepatutnya tidak mengambil pusing perbalahan tersebut sebaliknya memikirkan cara memulihkan ekonomi dan melihat siapa antara kedua-dua pemimpin tersebut yang akan bantu meningkatkan kehidupan mereka,” tambah Aguirre.

Bagaimana nasib Duterte selepas ini memandangkan beliau tidak mempunyai imuniti daripada sebarang pendakwaan atau mungkinkah 'gurauan' itu akan memakan dirinya? - Agensi

-------

- Dinasti Marcos

Keluarga ini mula terlibat dalam politik sejak pilihan raya pada 1925, pengaruh mereka memuncak di bawah pentadbiran bekas Presiden, Ferdinand Marcos yang memerintah selama 21 tahun termasuk 14 tahun 'era diktator'.

Keluarga ini pernah jatuh sebelum Bongbong kembali memegang tampuk pemerintahan selepas 36 tahun penggulingan Marcos.

- Dinasti Duterte

Ia bermula dengan penghijrahan peguam dan bekas Datuk Bandar Danao, Cebu, Vicente "Nene" Gonzales Duterte ke Davao pada 1940-an.

Davao kemudiannya menjadi kubu kuat keluarga Duterte. Rodrigo Duterte pernah menjadi Datuk Bandar Davao untuk tujuh penggal selama 22 tahun sebelum dilantik sebagai Presiden ke-16 Filipina pada 2016.

Bekas Presiden sarat kontroversi itu terus mengekalkan pengaruh keluarganya untuk memegang jawatan penting selaku Naib Presiden yang disandang Sara Duterte dan anak lelakinya yang mengikut jejak langkah beliau di Davao.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!