Hilang nyawa dilanggar kenderaan berat

Video tular memaparkan rakaman kemalangan melibatkan lori mengundur di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru pada Sabtu.
Video tular memaparkan rakaman kemalangan melibatkan lori mengundur di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru pada Sabtu.
A
A
A

KEBELAKANGAN ini, penulis sering berasa gusar apabila memandu kenderaan di jalan raya kerana khuatir akan kecuaian seseorang yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Hal itu semuanya bermula daripada ‘lambakan’ insiden membabitkan kenderaan berat sehingga ramai orang awam berdepan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Insiden melibatkan kenderaan berat ini seolah-olah tiada kesudahan dan lebih membimbangkan ia dilihat semakin menggerunkan.

Terbaharu tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sebuah lori mengundur secara mengejut dengan laju di persimpangan hingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal, Muhammad Hanis Sehat, 32, kehilangan nyawa di tempat kejadian.

Difahamkan nahas tersebut berlaku ketika pemandu lori berada di tapak pembinaan untuk mengisi minyak brek, namun dengan tiba-tiba ia berundur sendiri lalu melanggar pintu keselamatan dan memasuki jalan utama sebelum merempuh motosikal dan sebuah lagi kenderaan.

Kejadian sedemikian benar-benar membangkitkan persoalan kepada penulis tentang kesejahteraan pengguna jalan raya jika masih ada pemandu lori yang mengabaikan aspek keselamatan.

Apabila berbicara mengenai aspek keselamatan, meliputi segala perkara termasuk mental dan fizikal pemandu lori serta pematuhan terhadap penyelenggaraan secara berkala.

Perkara ini tidak boleh diambil mudah mahupun dipandang ringan oleh pemilik syarikat lori atau mereka yang memandu kenderaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, jalan raya itu digunakan secara bersama dan sudah semestinya semua pihak menginginkan ia menjadi satu tempat yang selamat.

Pun begitu, jika ada pihak yang mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan diri sendiri mahupun kenderaan dalam keadaan baik, ia bukan sahaja mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya malah keluarga mereka.

Sebagai contoh insiden yang berlaku kepada Muhammad Hanis, dia merupakan seorang bapa kepada tiga orang anak.

Kejadian yang menimpa Muhammad Hanis ini secara tidak langsung memberi kesan kepada keluarganya kerana mereka kini kehilangan tempat untuk bergantung.

Lebih memilukan anak-anak mangsa kehilangan seseorang boleh memberikan perhatian dan terpaksa membesar tanpa kasih sayang insan bergelar bapa.

Bukan itu sahaja, situasi sedemikian sudah tentu menjadi titik hitam bagi seorang wanita yang bergelar isteri lebih-lebih lagi kehilangan suami disebabkan kecuaian orang lain.

Tidak mudah untuk meneruskan kehidupan sambil membesarkan anak-anak, sudah tentu hal sedemikian menjadi perkara utama yang difikirkan oleh balu mangsa.

Ini kerana segala tanggungjawab untuk menjaga dan membesarkan anak akhirnya berpindah di bahu isteri mangsa dan dia perlu memainkan peranan dalam memastikan keluarga kecilnya dalam keadaan selesa.

Nahas membabitkan lori bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa malah memberi kesan berantai kepada seluruh ahli keluarganya.

Nyawa pengguna jalan raya tidak boleh dijadikan sebagai taruhan dan permainan kerana setiap daripada mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing.

Oleh itu, penulis benar-benar berharap agar semua pemandu lori dan syarikat yang mengendalikan kenderaan berat itu mengambil sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

Hanya dengan sikap bertanggungjawab daripada pihak berkenaan, ia dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan sehingga ada nyawa yang melayang.

Bukan itu sahaja, diharapkan agar semua pemandu lori memiliki kesihatan baik khususnya fizikal dan mental sebelum memulakan perjalanan ke destinasi yang dituju.

Elakkan pengambilan ubat-ubatan yang boleh mengakibatkan mengantuk kerana ia bakal menjejaskan fokus dan pemanduan seterusnya boleh memberi risiko kepada berlakunya kemalangan.

Segala risiko kemalangan boleh dikurangkan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.

* Nor Syamira Liana Nor Ashaha adalah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!