Risiko sekatan perdagangan akibat pertahan hak Palestin tumpuan Dewan Rakyat

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Oktober lepas hingga 12 Disember ini. Foto hiasan
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Oktober lepas hingga 12 Disember ini. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Risiko sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat susulan kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin menjadi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, RSN Rayer (PH-Jelutong) mengemukakan soalan berkaitan isu tersebut dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, sebaik sidang bermula pada jam 10 pagi.

Dalam sesi sama, Perdana Menteri dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai alasan kontrak sewaan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaksanakan secara pajakan tidak melalui tender terbuka antarabangsa atau pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G to G).

Sementara itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) akan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan langkah-langkah yang diambil bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar, pada sesi soal jawab lisan.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian yang terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Oktober lepas hingga 12 Disember ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!