Tahanan lolos diberkas bersembunyi dalam kebun durian
ALOR GAJAH - Tahanan lelaki warga Indonesia yang lolos ketika berada di Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada Isnin, berjaya ditahan semula di kebun durian Taman Melaka Pindah di sini, pada petang Rabu.
Suspek berusia 38 tahun diberkas dalam keadaan tangan yang tidak bergari kira-kira jam 6.10 petang ketika bersembunyi di kebun berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Nawawi berkata, tangkapan dibuat menerusi Ops Kesan yang dilancarkan melibatkan anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah serta kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan suspek yang menyedari kehadiran polis telah bertindak melarikan diri, namun berjaya ditangkap dengan keadaan tangan yang tidak bergari.
"Polis percaya suspek yang melarikan diri itu tidak mendapat bantuan daripada mana-mana individu.
"Ketika ditangkap suspek enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau berkata, suspek akan direman di Mahkamah Alor Gajah dan kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan.
Sinar Harian pada Selasa, melaporkan suspek meloloskan diri dalam keadaan tangan bergari di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tahanan itu melarikan diri ketika diiringi oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia ke mahkamah bagi sebutan semula kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952.
Menurutnya, tahanan dipercayai lolos ketika dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan penguat kuasa kira-kira jam 10.10 pagi.
"Secara tiba-tiba suspek menolak pegawai pengiring dan terus melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah ke arah kawasan semak berhampiran dengan tangan masih bergari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!