Rantau Panjang lumpuh, Sungai Golok lepasi bacaan bah kuning 2014
RANTAU PANJANG - Paras air Sungai Golok di sini kini mencecah 11.42 meter (m) dan melepasi catatan bah kuning pada 2014 sekali gus penduduk menyifatkan Rantau Panjang lumpuh pada Khamis.
Ini ekoran bekalan elektrik di beberapa kawasan terpaksa diputuskan susulan hujan yang masih berterusan.
Penduduk Pekan Rantau Panjang, Fadhli Mat Yusof berkata, trend air yang semakin naik menimbulkan rasa trauma apabila mengingatkan dia kepada tragedi 2014 lalu.
"Kami sudah bersedia awal sebab mengikut pedoman orang tua, serta pengalaman lepas setiap 10 tahun akan banjir besar.
"Tahun 2004, 2014 dan sekarang 2024 air Sungai Golok hari ini dah cecah 11.42 meter begitu cepat.
"Kebetulan rumah kami dua tingkat, namun melihat keadaan air yang sentiasa naik ia sangat membimbangkan. Kami akan berpindah jika perlu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Fadhli, melihat kepada keadaan cuaca sekarang tidak mustahil tengah hari nanti seluruh kawasan di Rantau Panjang akan terputus bekalan elektrik.
Ujarnya, setakat ini liputan telco masih baik, namun mereka bimbang jika ia terputus sepertimana tahun sebelumnya sehingga sukar untuk berkomunikasi.
Fadhli berkata, walaupun dia dan keluarga sudah membuat persiapan awal dari segi bekalan makanan, lilin dan mengecas 'powerbank' namun dia tetap waspada.
Bagi Nasran Nasuha yang tinggal berhampiran Sungai Golok pula, hujan yang tidak berhenti menyebabkan keadaan air naik begitu cepat mulai jam 1 tengah hari Rabu.
"Setakat ini air di hadapan rumah sudah mencecah lebih satu meter. Diharap hujan akan berhenti kerana jika masih berterusan ia akan memburukkan lagi keadaan dan banjir kali ini dilihat lebih teruk daripada 2014 lalu.
"Kami sudah terputus hubungan, hanya bot sahaja yang boleh masuk ke Rantau Panjang," katanya.
Ia juga diakui oleh Siti Nurfazmira Azmi yang tinggal di Kampung Banggol Kulim apabila melihat keadaan air di sekitar rumahnya ia lebih teruk berbanding 2014 lalu.
Katanya, jika 10 tahun lalu air hanya paras 0.3 meter sahaja di dalam rumah tetapi hari ini (Khamis) sudah mencecah 0.5 meter.
"Trend air sentiasa menaik kerana sekarang hujan masih lagi lebat, cuaca gelap walaupun sudah jam 8.30 pagi.
"Takut tengok keadaan cuaca sekarang, namun kami sentiasa panjatkan doa agar banjir tidak seteruk sebelumnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!