'Tiada lebih mulia selain keadilan sebenar' - Nazifuddin
PUTRAJAYA - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion disifatkan sebagai keadilan yang sebenar.
Anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin menerusi hantaran di laman sosial berkata, sebaik menerima keputusan tersebut beliau dan keluarga melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga.
"Dalam setiap detik ujian, kami tahu bahawa keadilan akan datang dan ini adalah bukti bahawa tiada yang lebih mulia selain keadilan yang sebenar," katanya.
Ujar beliau, keputusan itu juga membuktikan keadilan yang ditegakkan bukan sahaja memberi harapan kepada bapanya tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Semua ini adalah hasil daripada ketabahan, kesabaran dan perjuangan yang tidak pernah pudar daripada semua rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan dan doa.
"Tanpa sokongan semua perjalanan ini tidak akan sampai ke titik ini," jelas Nazifuddin.
Terdahulu, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah atas tiga alasan antaranya pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Pada 24 Oktober 2018, Najib, 71, dan Mohd Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu dalam hantaran sama, Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Langkawi menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Pemuda Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang tidak bertolak ansur dan tegas menentang cubaan daripada mana-mana pihak ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!