Banjir di Terengganu makin buruk, 8,215 mangsa dipindahkan ke PPS

Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Apal, Jertih di Besut ke PPS di Dewab Sivik kampung berkenaan pada malam Rabu.
Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Apal, Jertih di Besut ke PPS di Dewab Sivik kampung berkenaan pada malam Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat mendadak kepada 8,215 orang berbanding seramai 2,399 direkodkan pada Rabu.

Sehingga jam 8 pagi pada Khamis, sebanyak enam daerah dilanda banjir iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), sebanyak 132 PPS telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas di enam daerah tersebut.

Sebelum ini, dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun yang telah pulih sepenuhnya dari banjir kembali dinaiki air pada petang Rabu menyebabkan seramai 847 mangsa di kedua daerah itu dipindahkan.

Berdasarkan statistik, daerah Besut merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 3,205 mangsa daripada 839 keluarga ditempatkan di 51 PPS di daerah tersebut.

Bagi daerah Hulu Terengganu, seramai 2,039 mangsa daripada 713 keluarga dipindahkan ke 32PPS.

Daerah Setiu pula turut menunjukkan peningkatan mangsa banjir dengan seramai 2,022 mangsa daripada 577 keluarga dipindahkan ke 28 PPS.

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Kampung Apal, Jertih dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air pada malam Rabu.
Mangsa banjir di Kampung Apal, Jertih dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air pada malam Rabu.

Jumlah mangsa banjir di Marang menunjukkan peningkatan dengan seramai 102 mangsa daripada 27 keluarga dipindahkan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan sebanyak 13 stesen bacaan di lapan sungai seluruh Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.

Lima stesen di daerah Setiu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya di tiga sungai iaitu Sungai Nerus, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.

Bagi daerah Besut pula, sebanyak tiga stesen bacaan merekodkan air melepasi paras bahaya Sungai Besut iaitu di Jambatan Keruak, Kampung La dan Jambatan Jerteh.

Dua sungai di Hulu Terengganu melepasi paras bahaya ialah Sungai Berang dan Sungai Telemong manakala di Dungun, ialah Sungai Dungun iaitu di stesen Kuala Jengai.

Di Kemaman, dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Tebak dan Sungai Kemaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!