Empat pekerja syarikat tanam anak pokok balak terperangkap banjir
MARAN - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menyelamatkan empat pekerja yang terperangkap selepas jalan dinaiki air di kawasan ladang kelapa sawit di Mantau Balak Seri Makmur di sini pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.52 malam.
Menurutnya, lapan anggota BBP Maran bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian itu yang sejauh 45 kilometer.
"Komander operasi melaporkan empat lelaki dewasa terperangkap disebabkan jalan ditenggelami air sehingga paras pinggang di kawasan ladang sawit tersebut dan meminta bantuan pihak bomba untuk menyelamatkan mereka.
"Pasukan bomba masuk ke dalam kawasan ladang berkenaan dengan menggunakan kenderaan Hilux dan bot fiber ke lokasi mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, keadaan air deras dan semua mangsa telah berjaya dikeluarkan dengan selamat manakala dua anggota polis turut berada di lokasi lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa terdiri pekerja syarikat yang menanam anak pokok balak dan sejauh kira-kira empat kilometer dari jalan utama ke kawasan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!