Pemandu e-hailing rugi setengah juta ringgit terpedaya pelaburan tidak wujud
PASIR GUDANG - Seorang pemandu e-hailing berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM504,000 lesap akibat diperdaya sindiket yang menawarkan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita tempatan berusia 44 tahun berhubung kejadian itu pada Isnin lalu.
Katanya, mangsa mendakwa dirinya telah terpedaya dengan skim pelaburan saham yang dilihat di laman Facebook pada Ogos lalu.
"Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan setelah membaca penerangan di dalam kumpulan itu, mangsa berminat untuk mencuba.
"Mangsa telah diberi tunjuk ajar tentang cara-cara melabur dan dijanjikan keuntungan sebanyak tiga peratus daripada modal pelaburan yang akan diperolehi segera dan berjalan dalam tempoh tiga bulan.
"Seterusnya, mangsa telah diarahkan untuk memuat naik aplikasi pelaburan terbabit untuk urusan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohd Sohaimi, disebabkan tertarik dan percaya kepada skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa telah membuat 10 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM504,000 bermula 17 Oktober sehingga 21 November lalu.
"Sepanjang tempoh itu, mangsa mengatakan pada awalnya ada menerima pulangan sebanyak RM400 pada bulan lalu, menyebabkan mangsa menggandakan pelaburan sehingga sampai ke fasa ke empat pelan pelaburan itu.
"Pada awal November lalu, pengadu dapat lihat adanya keuntungan masuk di dalam aplikasi tersebut dan mangsa cuba untuk keluarkannya tetapi tidak berjaya.
"Suspek meminta mangsa membuat pembayaran bagi meneruskan pelan pelaburan namun mangsa enggan kerana memerlukan penambahan wang yang banyak menyebabkan mangsa disekat dan tidak dapat mengakses aplikasi tersebut," ujarnya.
Beliau berkata, pengadu percaya dirinya ditipu dan bertindak membuat laporan polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!