[VIDEO] Pesara kerajaan antara lapan disyaki pengikut Millah Abraham ditahan
JASIN - Lapan individu termasuk pesara kerajaan disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham dicekup dalam operasi bersepadu di daerah ini awal pagi Khamis.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka berusia antara 28 dan 72 tahun itu ditahan dalam serbuan serentak di empat buah rumah kediaman di sekitar daerah ini.
Menurutnya, operasi bersepadu bagi membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Abraham melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan seramai 70 pegawai dan anggota.
Katanya, tangkapan dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai penyebaran dan pengamalan ajaran yang telah diwartakan di negeri Melaka sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
"Lapan individu yang ditahan iaitu lima lelaki dan tiga perempuan termasuk tiga pasangan suami isteri dalam empat serbuan berasingan di rumah kediaman.
"Mereka yang ditahan merupakan pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Jelasnya, berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap orang yang disyaki (OYDS) itu ada di antara mereka mengaku telah beberapa tahun tidak menunaikan solat fardu lima waktu sehari dan solat Jumaat.
Ujarnya, pengajian pengikut ajaran tersebut dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.
"Turut dirampas buku berkaitan ajaran Millah Abraham seperti Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi Al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual, Membaca Alam Membaca Zaman, komputer riba dan telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya lagi.
Tambahnya, kesemua OYDS disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau Melanggar fatwa yang telah diwartakan.
"Mereka juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 Enakmen sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak," ujarnya lagi.
Ajaran sesat Millah Abraham dikesan di negeri ini sejak 2016 dan merupakan antara 36 kumpulan ajaran di negeri ini yang telah diwartakan sesat pada 17 Ogos 2017.
Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.
Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!