Hubungan diplomatik Malaysia-AS baik, tidak jejas pendirian pertahan hak Gaza - PM

Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hubungan diplomatik melibatkan pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) masih diteruskan menerusi perkongsian komprehensif melibatkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Sekretari AS, Antony Blinken.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, pertimbangan ekonomi seharusnya tidak menjejaskan pendirian negara dalam menyuarakan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin khususnya di Gaza.

"Kerajaan jalinkan semua hubungan dengan pasukan baharu (AS) setakat upaya kita, tetapi sebagai negara berdaulat dan merdeka, pendirian negara dalam isu antarabangsa termasuk keganasan, kezaliman, penjajahan serta penindasan di Gaza akan terus disuarakan.

"Saya tidak fikir pertimbangan ekonomi sementara sangat penting, boleh mengurangkan atau mengekang pendirian kita dalam menyuarakan hak tuntutan keadilan buat rakyat Palestin khususnya di Gaza," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS meningkat sebanyak 29.1 peratus kepada RM264.28 bilion pada Januari hingga Oktober lalu.

Menurutnya, peningkatan daripada RM204.78 bilion atau AS$45.09 bilion itu adalah bagi tempoh sama pada tahun 2023.

Selain itu terdapat sebanyak 1,321 projek yang telah dan sedang diuruskan dengan pelaburan keseluruhan bernilai AS$39 bilion.

Sementara itu mengenai kenaikan tarif import yang dikenakan AS kepada Mexico, Kanada dan China, Anwar menjelaskan, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang dengan perkembangan terbaharu (iaitu) kenaikan tarif import (yang dikenakan AS) untuk Mexico, Kanada dan China.

"Setakat ini kita pantau, ia tidak melibatkan isu dasar luar negara termasuk Gaza atau Palestin, tetapi (berkaitan) bayaran antara kedua negara yang mana berlaku defisit sepertimana Presiden AS, Donald Trump umumkan semasa kempen," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!