Mahkamah batalkan permohonan Siti Bainun tangguh hukuman 12 tahun
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membatalkan permohonan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom down dikenali Bella, tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun, 32, memberitahu, pembelaan berhasrat untuk menarik balik rayuan terbabit.
Semasa prosiding, Asyraaf berkata, Siti Bainun mahu menarik balik permohonan di Mahkamah Tinggi di sini yang difailkan pada 6 Jun lepas.
“Kami mahu menumpukan perhatian kepada rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya,” katanya.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Syajaratudur Abd Rahman.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, tarikh prosiding untuk mengetepikan sabitan dan hukuman di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan.
Pada 2 Mei lepas, Hakim, Datuk Noorin Badaruddin (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun.
Beliau memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Mei 2023.
Bagaimanapun, hakim itu mengarahkan pembelaan supaya memfailkan permohonan baharu bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun sekiranya perlu.
Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi menjatuhi wanita yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, dihukum penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serta-merta di Penjara Kajang, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!