Status kesihatan: Sedar hari ini bukannya sesal esok hari

Foto daripada Pexels
Foto daripada Pexels
A
A
A

Kesihatan adalah harta yang paling berharga, namun sering kali diabaikan oleh kebanyakan orang. Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakyat Malaysia semakin mudah terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, dan penyakit kardiovaskular seperti hipertensi dan penyakit jantung yang kini menjadi antara punca kematian utama di negara ini.

Gaya hidup tidak aktif, diet tinggi lemak dan gula serta tekanan hidup yang meningkat menjadi penyumbang utama kepada statistik yang membimbangkan ini. Oleh itu, penting bagi setiap individu untuk mengenali status kesihatan mereka agar dapat mengelak komplikasi serius di kemudian hari.

Tahap kesihatan rakyat Malaysia: Kajian dan statistik terkini

Kajian KKM pada tahun 2020 menunjukkan 1 daripada 5 rakyat Malaysia menghidap diabetes, sementara hampir 30 peratus individu dewasa mengalami hipertensi.

Statistik ini turut mendedahkan bahawa Malaysia mempunyai salah satu kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara dengan lebih 50 peratus rakyat dewasa mengalami berat badan berlebihan.

Menurut kajian ini, faktor seperti pemakanan tidak seimbang, gaya hidup kurang aktif serta kebiasaan tidak melakukan pemeriksaan kesihatan berkala menyumbang kepada peningkatan kes penyakit kronik.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pula menunjukkan bahawa hampir 40 peratus rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap penyakit kronik sehingga penyakit itu berada di tahap serius.

Ini berikutan kurangnya kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala, di samping stigma dan ketakutan terhadap keputusan ujian kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Epidemiology & Community Health juga menegaskan bahawa tahap kesedaran kesihatan di kalangan rakyat Malaysia masih rendah, khususnya dalam kalangan lelaki muda dan mereka yang tinggal di luar bandar.

Kena cegah sebelum kena penyakit

Pemeriksaan kesihatan berkala dapat membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal, seterusnya membolehkan rawatan dimulakan sebelum keadaan bertambah serius.

Sebagai contoh, diabetes tahap awal atau pra-diabetes, yang lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas, boleh dikesan melalui ujian darah. Dengan mengesan masalah ini lebih awal, rawatan dan perubahan gaya hidup yang bersesuaian boleh dilaksanakan untuk mencegah komplikasi lebih parah seperti kerosakan buah pinggang, kebutaan, penyakit jantung dan strok.

Foto daripada Unsplash
Foto daripada Unsplash

Selain itu, menurut World Health Organization (WHO), pemeriksaan berkala juga boleh menjadi satu kaedah efektif untuk mengurangkan kos rawatan jangka panjang.

Pesakit yang mengesan penyakit mereka pada peringkat awal memerlukan kos rawatan yang lebih rendah berbanding mereka yang mengesan penyakit di tahap akhir. Ini bukan sahaja mengurangkan beban kos pada pesakit, malah juga menjimatkan perbelanjaan kesihatan negara.

Pemeriksaan kesihatan: Masih ramai tak endah

Walaupun banyak manfaat pemeriksaan kesihatan telah terbukti, sikap rakyat Malaysia terhadap kesedaran kesihatan masih rendah. Kajian NHMS mendapati lebih 70 peratus rakyat Malaysia hanya akan mendapatkan pemeriksaan kesihatan apabila berasa sakit, berbanding melakukannya secara berkala.

Ini berpunca daripada beberapa faktor, antaranya kepercayaan bahawa pemeriksaan kesihatan hanya diperlukan apabila berlaku gejala, kos yang dianggap mahal serta kurangnya pengetahuan tentang kepentingan ujian kesihatan.

Penting untuk kita fahami bahawa tidak semua pemeriksaan memerlukan kos yang tinggi.KKM telah memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang menggalakkan semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk melakukan saringan kesihatan. Pemeriksaan NHSI dilaksanakan di peringkat program KKM samada di fasiliti kesihatan atau di komuniti melalui pemantauan MySejahtera, program PeKaB40, program saringan PERKESO. Skim ini menawarkan pemeriksaan percuma bagi penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi, dan penyakit jantung yang merupakan risiko tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mulakan dengan langkah mudah

Foto daripada 123RF
Foto daripada 123RF

Pemeriksaan Asas: Setiap individu sepatutnya melakukan pemeriksaan asas seperti mengukur tekanan darah, tahap gula dalam darah dan BMI sekurang-kurangnya setahun sekali. Ini adalah ujian ringkas yang boleh dilakukan di klinik kerajaan atau swasta pada kadar yang berpatutan.

Rancang pemeriksaan berkala: Jika anda berumur 40 tahun ke atas, mulakan perancangan untuk pemeriksaan kesihatan tahunan. Manfaat inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KKM seperti program NHSI.

Amalkan gaya hidup sihat: Mulakan dengan perubahan kecil seperti mengurangkan pengambilan gula dan garam, makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, serta senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima hari seminggu.

Dapatkan sokongan keluarga: Jika anda bimbang tentang kos atau takut menjalani pemeriksaan, dapatkan sokongan keluarga dan sahabat. Mereka boleh memberikan motivasi dan membantu anda untuk terus komited menjaga kesihatan.

Kewajipan menjaga kesihatan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat. Dengan memahami status kesihatan dan menjalani pemeriksaan secara berkala, kita dapat mencegah komplikasi penyakit yang serius serta menikmati kehidupan yang lebih berkualiti. Marilah kita ubah sikap dan jadikan kesihatan sebagai keutamaan dalam kehidupan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!