Kes jangkitan, kematian meningkat hampir 10 kali ganda di Hubei
BEIJING - Penggunaan metodologi baharu untuk diagnosis koronavirus (Covid-19) menyaksikan peningkatan kes jangkitan hampir 10 kali ganda dilaporkan di wilayah Hubei di China hari ini berbanding semalam.
Peningkatan itu sekali gus mencetuskan tanda tanya tentang skala sebenar krisis tersebut selepas ia dilaporkan terkawal beberapa hari lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 14,480 kes baharu dilaporkan dan 13,332 daripadanya dikesan daripada kategori diagnosis klinikal baharu menggunakan imbasan tomografi berkomputer (CT).
Jumlah kematian di Hubei juga meningkat kepada 242 kes dan 135 daripadanya didiagnos menggunakan kaedah baharu tersebut.
Kaedah baharu itu digunakan selepas Suruhanjaya Kesihatan pada minggu lalu memaklumkan ia akan mula menggunakan keputusan imbasan CT bersama ujian asid ribonukleik (RNA) untuk membolehkan hospital mengasingkan pesakit dengan lebih cepat.
Susulan itu, pihak berkuasa memberitahu ia kini menyemak semula data lama dan penilaian kes yang disyaki sebelum ini.
Suruhanjaya Kesihatan Hubei berkata, perubahan dilakukan itu bermakna pesakit kini boleh mendapatkan rawatan lebih cepat dan konsisten.
Pengimejan paru-paru menerusi imbasan CT itu membolehkan pesakit dirawat secepat mungkin dan meningkatkan peluang mereka untuk sembuh.
Sebelum ini, Hubei hanya membenarkan kes jangkitan disahkan oleh ujian RNA yang mengambil masa beberapa hari untuk disahkan hingga menyebabkan rawatan terpaksa ditangguhkan.
Selain itu, kebanyakan pesakit yang mempunyai simptom radang paru-paru seperti dikesan imbasan CT tidak dapat disahkan positif Covid-19 tanpa ujian RNA.
Keberkesanan ujian RNA untuk mengenal pasti virus itu menerusi urutan genetik spesifik pernah mencetuskan tanda tanya banyak pihak sejak krisis tersebut bermula pada bulan lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!