KK Karate-Do Goju-Kai kali ke-13 cipta sejarah baharu
KUALA LUMPUR – Kejohanan Antarabangsa KK Karate-Do Goju-Kai kali ke-13 yang berlangsung pada 17 November lalu melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan 430 peserta daripada 27 kelab, termasuk wakil dari India dan pelbagai negeri seperti Pahang, Kedah, Perak dan Johor.
Kejohanan berprestij ini berlangsung di South City Plaza, Seri Kembangan dan terus menjadi platform utama dalam memupuk bakat muda dalam seni mempertahankan diri Karate-Do.
Presiden Persatuan Karate-Do Goju-Kai Selangor, Master Yondan J. Sithambaram, menyifatkan kejohanan ini sebagai satu usaha konsisten untuk membangunkan bakat di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Karate-Do Goju-Kai Selangor yang juga Pengasas KK Supermart, Datuk Seri Dr. KK Chai, turut meluahkan rasa bangga terhadap perkembangan ini.
“Jika pada kejohanan pertama hanya 100 peserta mengambil bahagian, tahun ini kami berjaya menarik penyertaan seramai 430 peserta.
“Saya yakin angka ini akan terus meningkat pada masa akan datang. Kami di KK SUPER MART sentiasa komited memberikan sokongan penuh demi pembangunan sukan ini,” katanya.
Sebanyak 352 pingat dipertaruhkan dalam kejohanan yang turut melibatkan lebih daripada 40 jurulatih dan krew profesional.
Ujar KK Chai lagi, komitmen KK SUPER MART dalam menjayakan kejohanan ini mencerminkan usaha mereka dalam menyokong kebajikan komuniti.
Kata beliua, dengan 903 cawangan seluruh negara, jenama ini bukan sahaja fokus kepada perniagaan, tetapi juga terlibat aktif dalam aktiviti kebajikan seperti sumbangan kepada rumah ibadah, bakul makanan kepada golongan B40 dan bantuan kepada rumah anak yatim serta warga emas.
“Selain menyediakan keperluan peserta seperti baju T kejohanan, kami juga memastikan kemudahan terbaik untuk semua pihak termasuk dewan yang selesa, tempat duduk tetamu serta makanan dan minuman,” jelasnya.
Dengan prestasi kejohanan ini dan sokongan tanpa henti daripada pihak penganjur serta penaja, KK Karate-Do Goju-Kai bakal terus mencipta momentum sebagai acara unggul dalam kalendar seni mempertahankan diri tempatan dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!