PRAB dipasang, amaran banjir seawal dua hari

Mohamad Yusoff
Mohamad Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir (PRAB) selain menaik taraf 140 stesen telemetri pemantauan banjir di seluruh Kedah.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, projek berkenaan melibatkan kos RM10.8 juta.

Menurutnya, apabila projek tersebut siap kelak, amaran banjir dapat dikeluarkan seawal dua hari sebelum bencana dengan menggunakan model ramalan termasuk data-data dari stesen hidrologi yang dibangunkan.

“JPS juga menerima peruntukan Program Pembangunan Sistem Hidrologi dan Pemantauan Alam Sekitar dari kerajaan negeri sebagai inisiatif mengurangkan risiko kerugian harta benda dan nyawa ketika berlakunya banjir,” katanya menjawab soalan lisan Mohd Suffian Yusoff (Pas-Bandar Baharu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Mohamad Yusoff berkata, bagi mengurangkan masalah banjir dalam jangka masa panjang, JPS menerima peruntukan RM95 juta daripada kerajaan Persekutuan melibatkan skop pengurusan banjir pada tahun ini.

“Menerusi peruntukan pembangunan negeri setiap tahun disalurkan untuk program tebatan banjir.

“Bagi tahun ini, sebanyak RM2.95 juta diluluskan kepada JPS Kedah melibatkan projek RTB Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani, selain kerja-kerja tebatan banjir di Kampung Bukit Lerek (Pokok Sena), kawasan rumah pam Taman Intan (Kota Setar), kawasan Taman Rambai di Alor Mengkudu dan beberapa tempat lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan juga dilaksanakan oleh JPS melalui peruntukan penyelenggaraan bawah peruntukan mengurus setiap tahun oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“JPS juga bekerjasama dengan agensi-agensi pusat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memberikan amaran cuaca dan status aras air semasa sungai-sungai utama,” jelasnya.

Mohamad Yusoff berkata, bilik gerakan pemantauan banjir JPS turut diwujudkan bagi memberikan amaran awal kepada agensi-agensi terlibat berkaitan kenaikan aras air.

“Kerja-kerja penyelenggaraan stesen pemantauan dan amaran banjir bagi menghadapi musim banjir dilakukan, merangkumi stesen hujan dan aras air telemetri dan stesen siren amaran banjir,” katanya.

Menurutnya lagi, turut dilaksanakan kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negeri dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.

“Kita juga melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir membabitkan kos RM2 juta di seluruh negeri pada tahun ini.

“Kerja-kerja kecemasan melibatkan peruntukan Persekutuan diterima pada tahun ini melibatkan skop kerja memulihkan saliran dan parit, memulihkan struktur kawalan dan memulihkan pembetungan sebanyak RM5.65 juta,” jelasnya.

Mohamad Yusoff memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir pula melibatkan peruntukan sebanyak RM5.58 juta.

“Projek-projek RTB yang diluluskan dan dilaksanakan ialah RTB Pendang pakej satu, RTB Pendang pakej dua, RTB Sungai Kedah/Anak Bukit, RTB Jitra Selatan, RTB Baling fasa satu (Sungai Kupang) dan RTB Baling fasa dua.

“Selain itu beberapa lagi projek RTB yang telah diluluskan dan akan dimulakan antaranya RTB Sungai Bongkok dan RTB Bandar Baharu,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pemantauan berkala dilakukan JPS setiap daerah bagi mengenal pasti halangan dalam sungai-sungai dan saliran untuk tindakan segera khususnya bagi mengelak banjir kilat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!