[VIDEO] Banjir: 669 sekolah diwarta PPS di Johor
ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 669 buah sekolah di seluruh negeri sudah digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 143 sekolah menengah dengan jumlah tertinggi di Batu Pahat, Kluang dan Segamat.
Menurut beliau, persiapan rapi dan prosedur operasi standard (SOP) sudah dikenal pasti Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki peperiksaan pada Disember sehingga Februari depan tidak terganggu.
"Di peringkat JPNJ, kita minta agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat bencana daerah menggunakan sekolah rendah dahulu sebagai PPS berbanding sekolah menengah terutama yang menjadi pusat peperiksaan SPM.
"Kita tidak mahu ganggu sekolah menengah tetapi sekiranya berlaku juga, kaedah susun atur pusat-pusat peperiksaan akan dilaksanakan. Bahagian atas sekolah akan digunakan dan calon di sekolah yang terjejas banjir akan dipindahkan ke pusat peperiksaan lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Khamis.
Aznan (BN- Tanjung Surat) menambah, aspek atur gerak pelajar dalam kalangan mangsa banjir terutama pelajar dan calon SPM juga telah diselaraskan sejajar saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu ia diselaraskan lebih awal.
"Bagi pengangkutan calon SPM yang terjejas banjir, ia sentiasa disokong oleh agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
"Kita sudah ada senarai sekolah-sekoloh yang biasanya terkesan banjir seperti di Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat. Semua persiapan telah disusun oleh JPNJ," katanya.
Setakat ini, hanya sebuah PPS di buka di Johor iaitu di Balai Raya Batu Badak, Segamat menempatkan 28 mangsa daripada 8 keluarga.
Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dilaporkan bermula pada 5 November lalu dan berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, mengikut ramalan pihaknya, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini dilaporkan mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!