Baling bom petrol, remaja perempuan 17 tahun ditahan
ISKANDAR PUTERI - Seorang remaja perempuan ditahan kerana dipercayai membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
“Semasa kejadian pada jam 3 pagi, mangsa berada di rumah dan menyedari kereta miliknya yang diletakkan di pekarangan rumah dalam kawasan berpagar telah terbakar.
“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan pada jam 3.50 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tangkapan tersebut melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 17 tahun.
Hasil semakan katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan hasil saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.
Beliau berkata, pihak polis merampas barang-barang antaranya dua botol kaca, dua notis ugutan, satu tong mengandungi minyak petrol dan satu kereta biru gelap.
"Siasatan awal mendapati suspek menerima upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat dengan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang.
"Suspek sedang direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula semalam hingga 2 Disember ini," katanya.
Menurut Kumarasan, siasatan dilakukan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!