Pendaftaran STTP bantu pesawah masih rendah

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

TAIPING - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) melibatkan pesawah seluruh negara masih rendah.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, caruman itu merupakan satu inisiatif kerajaan sebagai perlindungan kepada pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam dan penyakit tanaman yang mengancam penghasilan padi.

"Kerajaan sentiasa beri perhatian bantu memberi ganti rugi mengikut kadar tertentu tetapi pendekatan baru menerusi insurans ini, jumlah perlindungannya adalah lebih tinggi mengikut keluasan tanaman berbanding Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

Mahfuz (tengah) meninjau kawasan projek tanaman bawang di Pusat Koreksional Kamunting pada Khamis.
Mahfuz (tengah) meninjau kawasan projek tanaman bawang di Pusat Koreksional Kamunting pada Khamis.

"Skim yang dikendalikan oleh Agrobank ini menyatakan pendaftaran pesawah masih rendah.

"Jadi, saya minta pesawah ambil kesempatan ini supaya mereka tidak lagi bergantung kepada bantuan bencana yang sangat terhad," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Tanaman Bawang di Pusat Koreksional Kamunting di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah LPP Perak, Dzulfadli Johan; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan Pengarah Pusat Koreksional Kamunting, Norulekhsan Abdul Rahim.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM50 juta bagi memastikan pesawah yang terlibat menerima perlindungan kewangan yang mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Dana ini untuk dua musim pertama secara percuma dan selepas itu kita akan nilai balik sama ada untuk teruskan.

"Kita tiada tempoh masa yang ditetapkan untuk pendaftaran tetapi segeralah berbuat demikian dengan pergi ke pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau Jabatan Pertanian," katanya.

Media melaporkan STTP yang dilancarkan oleh Agrobank menjadi skim takaful patuh syariah pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara, diperkenalkan selaras dengan Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

STTP terbuka kepada semua pesawah individu yang berdaftar dengan agensi yang diiktiraf oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!