Bukan aniaya GISBH, tetapi mahu kekang ajaran sesat - Exco

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menegaskan tidak pernah menganiaya perniagaan organisasi Islam di negeri ini termasuk GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melainkan ia sudah terbukti bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mufti mendapati mereka menggunakan perniagaan untuk ajaran sesat.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap organisasi berkenaan setelah mendapati berlakunya pengabaian terhadap kanak-kanak dan golongan wanita.

"Kita ada bertemu dengan kanak-kanak hingga mereka yang berusia 18 tahun di Bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada yang digunakan sebagai buruh paksa.

"Islam juga tidak pernah mengajar untuk melakukan penganiayaan terhadap wanita, itu belum sentuh mengenai gangguan seksual, siasatan polis mendapati ia berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Fared (BN-Semerah) menjawab soalan pada sesi soalan tambahan dikemukakan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) mengenai usaha yang dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam mendepani isu ajaran sesat dan juga pengabaian terhadap kanak-kanak serta penggunaan buruh paksa di negeri ini.

Mohd Fared berkata, satu garis panduan Penubuhan Jawatankuasa Membanteras Isu Ajaran Sesat telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 23 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jawatankuasa itu berperanan untuk mengenal pasti isu ajaran sesat yang timbul di negeri ini dan mencadangkan tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa dari sudut pemulihan akidah, undang-undang syariah dan juga tindakan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Oleh itu, katanya, pihaknya bertegas kepada mana-mana guru agama yang ingin berkongsi ilmu di negeri ini perlu mendapat tauliah terlebih dahulu dan menghormati undang-undang di negeri ini.

"Mereka tokoh agama yang menasihatkan orang supaya ikut perundangan, maka mereka perlu lakukan yang sama. Jadi nasihat saya, mohonlah tauliah jika ingin berkongsi ilmu di Johor.

"Ada antaranya yang mohon tauliah tapi enggan hadir apabila dipanggil temu duga, katanya sebab sudah popular terpampang di kaca TV dan dada akhbar. Setinggi mana pun kamu, syarat wajib dipatuhi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!