Bomba Perak sedia bantu negeri lain terjejas banjir

Sayani
Sayani
A
A
A

IPOH - Bomba Perak telah menyediakan tiga pasukan lengkap dengan peralatan dan kepakaran bagi membantu operasi menyelamat di negeri-negeri yang terjejas banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, pasukan berkenaan terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Kuala Kangsar dan Tapah bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Menurutnya, setiap pasukan dianggotai 13 orang dilengkapi dengan komposisi aset iaitu tiga kenderaan utiliti, enam bot dan tiga lori selain peralatan komunikasi dan peranti pengapungan peribadi (PFD) yang diperlukan untuk memberi bantuan menyelamat banjir.

"Tahun lepas kita pernah hantar bantuan ke Kelantan tetapi untuk MTL kali ini, belum ada arahan dikeluarkan lagi.

"Sekiranya ada keperluan bantuan seperti diarahkan Pusat Pengurusan Operasi Ibu Pejabat, maka kita akan terus beri isyarat kecemasan kepada tiga pasukan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Sekalung Budi Pesara-Pesara Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak di sini pada Khamis.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencecah 39,677 orang dengan 12,107 keluarga ditempatkan di 345 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.

Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan mencecah jumlah teramai dengan 32,858 mangsa di 10 daerah diikuti Terengganu (6,133), Kedah (443), Perlis (195), Johor (28) dan Perak (20).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sayani berkata, sebanyak 332 kawasan panas di negeri ini telah dikenal pasti berkemungkinan dilanda banjir.

Katanya, kawasan berkenaan antaranya membabitkan daerah Kuala Kangsar iaitu 76 lokasi, Kinta dan Kerian masing-masing 59, Larut, Matang dan Selama (57), Hilir Perak (18), Hulu Perak (15) dan Batang Padang (14).

"Kita sudahpun memastikan kecukupan anggota dalam menghadapi situasi bencana banjir ini.

"Tiada masalah untuk pasukan kita menghantar bantuan ke luar negeri yang terjejas dan pada masa sama, perlu bersedia dalam negeri.

"Kita boleh ambil pendekatan gerakkan penukaran sistem kerja daripada 12 jam kepada 24 jam atau melakukan pembekuan cuti dan cuti rehat kepada anggota," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!