Siren berbunyi tiga kali, bukan amaran banjir tapi masalah teknikal
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta orang ramai supaya tidak panik susulan sistem amaran awal banjir di Tambatan D’Raja di sini berbunyi sebanyak tiga kali pada pagi Khamis sehingga mencetuskan situasi cemas dalam kalangan penduduk.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ab Pattah Hasbullah berkata, sistem tersebut telah mengalami masalah teknikal sehingga berbunyi lebih daripada sekali.
"Bunyi amaran kali pertama itu betul manakala kedua dan ketiga adalah disebabkan masalah teknikal.
"Situasi banjir di negeri ini masih lagi terkawal. Kita sudah minta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk siasat perkara ini," katanya semasa sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mengulas rakaman video yang tular memaparkan sistem amaran awal banjir itu berbunyi sebanyak tiga kali sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!