Laba untuk rakyat
BELANJAWAN Selangor 2025 menyediakan banyak program baharu selain menambah baik inisiatif sedia ada demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan pada masa sama, negeri bertambah makmur.
Kecerdasan buatan (AI), pengangkutan awam dan kepentingan umat Islam antara yang dititik berat dalam belanjawan yang dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 15 November.
Keseluruhan RM3 bilion disediakan dalam belanjawan tersebut meliputi RM1.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala peruntukan RM1.3 bilion lagi bagi membangunkan negeri.
Berikut reaksi orang ramai terhadap sebahagian program terpilih dalam belanjawan tersebut:
“Penambahan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) tahun depan membuktikan komitmen Selangor membentuk komuniti warga emas produktif dalam mendepani cabaran negara menua. Tidak semestinya sudah bersara kita terperuk di rumah saja. Perlu pastikan ada sesuatu yang kita buat untuk pastikan otak terus aktif. Macam saya minat bidang elektrik jadi saya banyak buat aktiviti berkaitan. Malah selepas bersara saya ada ajar tuisyen Matematik kepada anak-anak tingkatan lima.” - Nasharuddin Ayob, 67 (pesara)
PAWE perlu bagi memenuhi keperluan sosial golongan berkenaan selain mengambil kira peratusan warga tua yang kian meningkat. Pembangunan infrastruktur untuk warga emas harus dimulakan sekarang tanpa menunggu beberapa tahun akan datang baru memikirkannya. Ia kerana kita lihat bukan sahaja bilangan penduduk warga emas akan meningkat tetapi kos sara hidup, kos untuk mendepani kehidupan sebagai warga emas juga adalah satu cabaran di setiap negeri.” - Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (Pengarah Program Sarjana Pentadbiran)
Kedua-dua van transit atas permintaan (DRT) dan bas Smart Selangor bagus dan selesa, kadangkala saya menaiki bas sekiranya mahu ke hospital atau bank manakala van DRT pula jika ada urusan di kawasan Subang Jaya. Harap inisiatif ini diteruskan dan van DRT dapat ditambah lagi terutama di Taman Seri Muda, Shah Alam.” - Ngai Yong Kong, 70 (Pengguna DRT dan Bas Smart Selangor)
“Program tajaan ibadah haji kepada golongan berpendapatan rendah (B40) diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM1.2 juta membuka ruang golongan berkenaan mengerjakan ibadah amatlah bermakna. Inisiatif ini adalah salah satu cara untuk berikan golongan B40 peluang mengerjakan ibadah sama seperti orang lain. Mungkin mereka tidak mampu, tapi mereka dapat daripada tajaan. Itulah rezeki.” - Zuraidah Ibrahim, 61 (Pesara swasta)
“Keputusan Selangor mengemukakan kertas putih kecerdasan buatan (AI) bakal memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak. Ini kerana, Selangor ada ramai bakat, universiti, kilang, bank dan sebagainya. Kerjasama ini akan bantu pembangunan bakat dan seterusnya amat baik kepada keseluruhannya. Saya juga harap suatu hari nanti kita ada kebolehan untuk hasilkan AI sendiri supaya kita dapat bebas sebagai satu negara.” - Erhan Azrai (Ketua Pegawai Eksekutif Kotak Sakti)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!