LPP, Jabatan Penjara jayakan keterjaminan makanan negara

Mahfuz merasmikan kerjasama projek tanaman bawang merah antara PPK Batu Kurau dan Pusat Koreksional Kamunting di Taiping pada Khamis.
Mahfuz merasmikan kerjasama projek tanaman bawang merah antara PPK Batu Kurau dan Pusat Koreksional Kamunting di Taiping pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan Jabatan Penjara khususnya membangunkan projek tanaman dalam menjayakan program keterjaminan makanan negara.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerjasama yang dilaksanakan di tujuh pusat koreksional dan pusat reintegrasi seluruh negara menunjukkan peningkatan produktiviti pertanian antaranya tanaman bawang, sayur-sayuran dan serai.

"Projek tanaman bawang ini umpamanya telah dijalankan di Pusat Koreksional Kamunting, Jasin dan Pusat Reintegrasi Sepang manakala lain-lain pula adalah tanaman sayur-sayuran.

Mahfuz (kanan) meninjau tapak tanaman bawang merah yang dilaksanakan antara PPK Batu Kurau dan Pusat Koreksional Kamunting di Taiping pada Khamis.
Mahfuz (kanan) meninjau tapak tanaman bawang merah yang dilaksanakan antara PPK Batu Kurau dan Pusat Koreksional Kamunting di Taiping pada Khamis.

"Ini merupakan satu usaha kita mendekati pihak penjara untuk lakukan kerjasama kerana pertama jabatan ini mempunyai tanah yang cukup luas selain mempunyai tenaga kerja yg agak mudah diperolehi.

"Tidak seperti mana kalau di luar yang mana pengusaha perlu mencari tenaga kerja dengan bebanan besar. Ini akan memudahkan kita semua," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Tanaman Bawang di Pusat Koreksional Kamunting di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz (kanan) menunjukkan benih bawang vareiti Baw-2 yang berjaya ditanam pada lawatan beliau ke tapak projek tanaman bawang merah di Pusat Koreksional Kamunting pada Khamis.
Mahfuz (kanan) menunjukkan benih bawang vareiti Baw-2 yang berjaya ditanam pada lawatan beliau ke tapak projek tanaman bawang merah di Pusat Koreksional Kamunting pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah LPP Perak, Dzulfadli Johan; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan Pengarah Pusat Koreksional Kamunting, Norulekhsan Abdul Rahim.

Menurut beliau, kerjasama itu bukan sahaja menjimatkan kos tenaga kerja malah ia melahirkan bakal usahawan dalam kalangan prospek (tahanan).

"Projek tanaman bawang varieti Baw-2 seluas tiga ekar berkenaan dijangka menghasilkan sekitar 12 tan dan dijangka boleh dipasarkan ke pasaran tempatan selain untuk kegunaan pusat ini.

"Pusat ini juga mempunyai rantaian lengkap penternakan lembu termasuk rumah sembelih sekali gus membantu pemulihan prospek dan membina kemahiran sebelum kembali kepada masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!