Banjir dijangka lebih buruk dari 2014

Keadaan banjir sekitar bandar Kuala Berang berikutan hujan lebat ketika tinjauan di sini hari ini. Foto Bernama
Keadaan banjir sekitar bandar Kuala Berang berikutan hujan lebat ketika tinjauan di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Banjir yang sedang melanda Kelantan dan Terengganu dijangka lebih buruk berbanding bencana tahun 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan unjuran daripada sistem amaran awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

"Banjir tahun ini dijangkakan lebih buruk dari tahun 2014 dahulu," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Bencana Banjir bersama agensi di sini pada Khamis.

Menurutnya, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan situasi banjir menyebabkan air sungai tidak dapat keluar ke laut.

"Walaupun pada peringkat awal ini Pahang dan Johor belum terjejas, tetapi kita jangkakan akan terjejas di awal Disember, yang mana akan menerima luruan hujan.

"Air sungai juga akan melimpah daripada Tengganu ke Pahang dan sungai daripada Pahang juga akan melimpah ke Johor.

"Keutamaan kita sekarang adalah Kelantan dan Terengganu," jelas beliau.

Mengulas mengenai situasi banjir di Kelantan, beliau telah berhubung dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bagi melancarkan operasi mengkoordinasikan banjir membabitkan kerajaan Pusat dan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, Pasir Mas dan juga di Tanah Merah yang paling terjejas. Jadi kombinasi antara semua pihak amat-amat diperlukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memaklumkan agensi dan aset negara dalam kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi bencana itu.

Katanya, seramai 82,794 pegawai dan anggota daripada lima agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Sebanyak 5,107 aset darat, air dan udara disediakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) selain 30,260 jaket keselamatan turut tersedia," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi peneraju kumpulan kerja kebajikan telah bersedia mengaktifkan 8,481 pusat penempatan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung 2,158, 748 mangsa.

"Kami mengambil pendekatan luar kotak yang mana pengerusi Jawatankuasa bencana peringkat daerah dan jajahan boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan penempatan mangsa banjir sebagai PPS berdaftar.

"Ini kerana ada lokasi yang kita tidak jangka berlaku bencana, tetapi kali ini berlaku banjir," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan semua agensi dan jabatan yang merancang untuk mengadakan kursus kursus atau pun mesyuarat di Kelantan dan Terengganu agar dapat menangguhkan perancangan tersebut bagi mengelakkan terbabit dalam bencana.

"Kita juga memohon kepada pihak industri perhotelan agar memberi keutamaan penginapan kepada pegawai dan anggota penyelamat yang bertugas," katanya.

Berdasarkan portal Info Bencana Banjir JKM, seramai 48,858 mangsa banjir daripada 14,853 keluarga sedang berlindung di 397 di PPS di enam negeri setakat jam 3 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!