Rumah ibadat perlu daftar ROS
SEREMBAN – Kerajaan negeri berhadapan masalah untuk mendapatkan rekod sebenar keseluruhan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, tokong dan gurdwara (rumah ibadat kaum Sikh) di Negeri Sembilan.
Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, ini kerana masih ada rumah ibadat yang didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selain dibina secara haram.
“Jika rumah ibadat itu dibina di atas tanah rizab kerajaan atau milik persendirian secara sah, kita boleh dapat maklumat dari Pejabat Daerah dan Tanah tapi yang jadi masalah jika tidak didaftarkan dengan ROS.
“Sebab itu kita rancang dan adakan forum supaya dapat kumpulkan kesemua jawatankuasa rumah ibadat ini,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan jawatankuasa rumah ibadat terlibat melalui forum berkenaan agar masalah dihadapi dapat diselesaikan.
“Mana yang tidak berdaftar, kita akan minta mereka daftar dan jika sudah daftar.
“Jika sudah daftar tapi ada isu tanah kita akan cuba selesaikan dengan Pejabat Daerah dan Tanah," katanya.
Menurutnya, penting setiap rumah ibadat berdaftar dengan ROS supaya mudah untuk kerajaan negeri menguruskannya, sekali gus elak perkara yang boleh mengundang masalah pada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Arul berkata, sebuah kuil di Kampung Pasir Rasah, di sini, telah dibatalkan pendaftarannya kerana berdepan masalah pengurusan.
“Saya nak nasihatkan kepada setiap jawatankuasa supaya mematuhi peraturan ditetapkan ROS. Memang kuil ini tiada masalah isu tanah, tapi gagal dalam pengurusan.
“Cuma di luar kawalan kita jika berlaku salah guna kuasa dan dana. Jika ada ahli buat laporan pada ROS dan tindakan diambil, itu tak dapat dielakkan,” katanya.
Sementara itu, katanya, peruntukan rumah RM1.5 juta diluluskan kerajaan negeri pada Bajet 2019 hanya akan disalurkan kepada rumah ibadat yang berdaftar dengan ROS.
“Kita akan beri keutamaan kepada rumah ibadat yang baru dibina atau dalam proses naik taraf dan baik pulih, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!