Pelatih Palapes maut: 'Kami mahu keadilan untuk abang' - Keluarga

Muhammad Amir Rusyaidi, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia, 13 November lalu semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).
Muhammad Amir Rusyaidi, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia, 13 November lalu semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).
A
A
A

SHAH ALAM - "Kami cuma mahu keadilan sewajarnya untuk abang."

Itu luah bapa kepada Muhammad Amir Rusyaidi, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia, 13 November lalu semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Muhammad Zaidi Abdul Rahman, 52, berkata, kematian anaknya itu memberikan kehilangan besar kepada mereka sekeluarga.

Beliau berkata, dirinya serta keluarga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini.

"Saya bukan mahu menidakkan atau mempertikaikan siasatan atau laporan mana-mana pihak, apa yang kami mahukan adalah keadilan buat arwah.

"Saya sendiri bersama isteri telah dirakam keterangan berhubung kejadian dan apa yang kami harapkan adalah satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, masa sama dirinya tidak mahu mengulas lanjut berkaitan siasatan pihak polis.

"Saya ada baca berkaitan kenyataan yang dikeluarkan media yang melaporkan kematian abang berpunca daripada strok haba, itu pada saya berdasarkan apa laporan dan siasatan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya siasatan terus dijalankan pihak polis berhubung perkara ini dan kelak akan temui hakikat sebenarnya berkaitan kejadian, saya menaruh harapan dan keyakinan terhadap kecekapan pihak polis sepenuhnya," katanya.

Mengulas mengenai kehilangan anak sulung daripada empat adik beradik itu, Muhammad Zaidi berkata arwah seorang yang penyayang terhadap adik-adiknya yang lain.

"Dialah yang selalu bawa adik-adiknya keluar jalan-jalan setiap kali cuti semester, memang arwah sangat akrab dengan mereka.

"Selain itu, arwah juga gemar memasak, kalau ada masa terluang terutamanya ketika cuti, memang dia akan memasak untuk kami sekeluarga," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiada kesan kecederaan luaran dikesan terhadap seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia, 13 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia disebabkan strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

Beliau berkata, punca kematian ialah disebabkan 'heat stroke with multiorgan failure' dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sebelum itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki berhubung kematian anaknya, yang dikaitkan dengan kejadian buli sewaktu menjalani sesi latihan seliaan jurulatih tentera di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Sementara itu, UiTM telah melaksanakan penelitian semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisme pemantauan berhubung aktiviti kokurikulum badan beruniform di universiti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!