Sah solat walau pakaian berlumpur, kena air banjir

SESEORANG yang mendirikan solat dengan pakaiannya berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana tiada tanda yang jelas terkena najis. -Foto: CANVA
SESEORANG yang mendirikan solat dengan pakaiannya berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana tiada tanda yang jelas terkena najis. -Foto: CANVA
A
A
A

APABILA berlakunya banjir, sukar untuk kita mengelakkan pakaian yang dipakai daripada terkena air bah dan lumpur.

Adakalanya mangsa atau sukarelawan banjir terlibat tidak sempat menukar pakaian dan terus solat menggunakan persalinan tersebut.

Apabila diteliti pada syarat sah solat, kita mestilah bersih daripada najis sama ada pada tubuh, pakaian dan tempat solat.

Bagaimana pula jika pakaian dipakai sudah terpalit dengan lumpur?

Sebelum menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terlebih dahulu mengajak kita untuk mendasari tentang hukum asal tanah yang mana ia adalah suci.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

“ALLAH SWT menjadikan setiap permukaan di bumi ini sebagai tempat sujud (untuk mendirikan solat) di atasnya dan menjadikan tanahnya suci untuk bertayamum jika tiada air,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #162 Solat dengan pakaian berlumpur dan dibasahi dengan air banjir yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Begitu juga halnya dengan air banjir yang mana jelas Dr Zulkifli, hukum asalnya adalah suci dan menyucikan kerana ia termasuk dalam kategori air mutlak.

“Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan ALLAH SWT.

“Air tersebut masih dikatakan sebagai air mutlak walaupun sudah berubah disebabkan lama terbiar, tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang.

“Lebih-lebih lagi air banjir yang kebiasaannya adalah limpahan daripada air sungai, laut, hujan atau semumpamanya. Semua itu termasuk dalam kategori air yang boleh digunakan untuk bersuci,” coretnya.

AIR mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu Kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan ALLAH SWT. Bahkan, air tersebut masih dikatakan sebagai air mutlak walaupun sudah berubah disebabkan lama terbiar, tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
AIR mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu Kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan ALLAH SWT. Bahkan, air tersebut masih dikatakan sebagai air mutlak walaupun sudah berubah disebabkan lama terbiar, tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Malah, jelas agamawan itu, fakta tersebut turut dikuatkan lagi dengan kaedah ‘Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya’.

“As-Sa’di ada menyebut kaedah bahawa ‘Asal bagi air kita adalah suci bersih, begitu juga tanah, pakaian dan batu’,” katanya.

Berdasarkan ungkapan tadi, maka Dr Zulkifli menyimpulkan, seseorang yang mendirikan solat dengan pakaiannya berlumpur dan basah disebabkan oleh air banjir adalah sah selagi mana tiada tanda yang jelas terkena najis.

Ini kerana katanya, hukum asal sesuatu itu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.

“Bagaimanapun, andai ada kesempatan, lebih baik seseorang itu dapat memakai pakaian yang lebih elok, bersih dan sesuai kerana ia lebih memberi keselesaan dan mendatangkan kekhusyukan.

“Tujuan solat adalah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT dengan penuh khusyuk dan tawaduk bagi menzahirkan sifat kehambaan kepada-NYA,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!