'Tunggu balasan saya' - Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berhasrat untuk mendedahkan lebih lanjut butiran berkaitan wujudnya komplot atau ‘perancangan besar’ untuk menggagalkan pelaburan swasta di Kedah.
Beliau berkata, dakwaan tersebut bukanlah sekadar tuduhan melulu, sebaliknya maklumat tersebut akan dijadikan panduan untuk beliau bertindak selanjutnya.
Menurutnya, pihak terlibat akan menerima ‘balasan’ atas perbuatan tersebut.
“Saya tak cakap semua perkara, tentang ‘grand design’ itu saya simpan. Saya nak tengok kelakuan mereka, sejauh mana mereka nak pi (bertindak).
“Apa tindakan yang saya akan buat berdasarkan pengetahuan yang saya simpan itu, mereka kena tunggu balasan dari saya,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, terdapat banyak perkara di negeri ini disabotaj pihak tertentu namun beliau enggan mendedahkan butirannya.
“Ada banyak perkara sabotaj, saya tak mahu sebut. Mereka suruh saya sebut (dedahkan), ikut suka hati saya lah kenapa nak paksa. Kalau saya sebut nanti mereka bernanah telinga pula,” katanya.
Menurutnya lagi, apa yang berlaku itu akan dijadikan sebagai pedoman untuk beliau membuat sebarang keputusan, pendirian mahupun kenyataan.
“Ada banyak (perkara) dalam dunia yang kita simpan dalam hati. Yang saya cakap sudah terlalu banyak, namun yang saya simpan dalam hati lebih banyak.
“Begitulah perjalanan dunia, tak semua benda kita cakap keluar. Yang saya cakap pun keluar banyak dah,” ujarnya.
Pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mendedahkan wujudnya plot yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini.
Dakwa beliau, syarikat yang melabur di Kedah diberikan tekanan untuk menarik diri daripada projek yang telah diumumkan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu merujuk kepada keputusan peneraju pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi namun tidak mendedahkan butirannya.
Pada Rabu, ADUN pembangkang Kedah menepis dakwaan Muhammad Sanusi dengan mengatakan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa masuk pelaburan Hyundai Motor bertapak di Kedah membuktikan tiada komplot untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu.
Mengulas mengenai pelaburan Hyundai Motor, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan yang diberikan.
“Terima kasih kepada PM, tetapi itu bukan kilang baharu cuma pasang di kilang di Padang Meha, bukan benda yang terlalu gah pun.
“Tapi kita sokonglah datanglah ke Kedah, atas sebab itu kita ucap terima kasih kepada kerajaan Persekutuan. Mereka pun tak tahu nak pergi mana jadi datang ke Kulim.
“Saya alu-alukan sesiapa sahaja untuk datang ke Kedah melabur pada bila-bila masa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!