10 jajahan dilanda banjir, belum ada keperluan isytihar darurat di Kelantan

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu penduduk melakukan operasi memindahkan mangsa banjir Zainab Mat Dhari, 76, yang terlantar sakit di Kampung Kuala Nal hari ini. Foto Bernama
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu penduduk melakukan operasi memindahkan mangsa banjir Zainab Mat Dhari, 76, yang terlantar sakit di Kampung Kuala Nal hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Walupun kesemua 10 jajahan di negeri ini dilanda banjir melibatkan jumlah mangsa 39,728 orang pada Khamis, namun situasi itu masih jauh daripada keadaan yang memerlukan pengisytiharan darurat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Ab Pattah Hasbullah berkata, sehingga kini keadaan masih terkawal.

"Berdasarkan pengalaman terutama pada tahun 2014, kita hanya mengisytiharkan darurat apabila paras air di Tangga Krai mencecah ketinggian 35.1 meter.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, paras air di sini (Tangga Krai) baru mencapai 25.13 meter, iaitu kurang 10 meter daripada paras dicapai pada kejadian bah kuning 2014," katanya semasa sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Menurut beliau, untuk mengisytiharkan darurat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan perlu bermesyuarat di peringkat negeri dengan di pengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

Ujarnya, selepas itu Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim akan dimaklumkan sebelum keputusan mesyuarat diangkat ke peringkat Persekutuan, iaitu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Ab Pattah memberitahu, Nadma akan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memutuskan perlu diisytiharkan darurat atau sebaliknya.

"Ini kerana setelah darurat diisytiharkan, semua aset serta peruntukan akan diuruskan oleh Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga jam 3.07 petang, seramai 39, 728 mangsa banjir ditempatkan di 185 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 14,315 orang, Tumpat (4,464), Kota Bharu (3,951), Pasir Puteh (3,931), Kuala Krai (3,915), Tanah Merah (3,621), Machang (2,745), Bachok (1,858), Jeli (896) dan Gua Musang (32).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!