MTL: Masih ada pengusaha berdegil anjur aktiviti air
IPOH - Pengendali sukan rekreasi air dan pemilik pusat peranginan di tepi sungai diingatkan untuk menghentikan sementara segala aktiviti di kawasan berisiko terjadinya kepala air dan tanah runtuh sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, langkah itu perlu bagi mengelak berlakunya kejadian pengunjung terperangkap atau insiden yang meragut nyawa.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya sudah mengeluarkan amaran dan senarai lokasi panas berkemungkinan berlaku kepala air, namun banyak pihak tidak senang dan tidak mengendahkan peringatan tersebut.
"Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, hentikanlah sementara sehingga MTL selesai.
"Apabila berlaku bencana, masing-masing akan mencari salah siapa sedangkan peringatan telah diberikan.
"Dalam kes begini, semua pihak perlu berwaspada kerana orang awam percaya kepada pengendali, apabila pengendali beritahu okey, mereka pun akan ikut serta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Sekalung Budi Pesara-Pesara Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak di sini pada Khamis.
Sayani berkata, kejadian di Sungai Jahang, Gopeng yang meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan insiden lemas membabitkan seorang wanita di Sungai Air Beruk, Gerik dua minggu lalu wajar dijadikan iktibar.
"Tidak lama lagi cuti sekolah bermula dan saya percaya ramai ibu bapa akan bawa anak-anak bercuti dan pulang ke kampung. Dalam kita memeriahkan suasana kekeluargaan, cuba elak aktiviti berkaitan air," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, JBPM Perak mengenal pasti 21 lokasi panas di lima daerah di Perak yang berisiko berlakunya kepala air.
Lokasi tersebut adalah Lata Kekabu; kawasan perkelahan Air Berok dan Air Terjun Lawin Selatan (Hulu Perak); Air Terjun, Bukit Jana; Burmese Pool, Bukit Larut; Lata Air Hitam dan Lata Sempeneh (Larut Matang dan Selama); Hutan Lipur Ulu Kenas; Air Terjun Batu Hampar dan Air Terjun Lata Perahu (Kuala Kangsar).
Kawasan lain adalah Kilometer (KM) 28 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland (Gunung Suku); Pusat Rekreasi Lubuk Timah; Kledang Saiong; Kampung Kota Raja; Lata Ulu Chepor; Air Terjun Lata Peyel; Ulu Geruntum dan Sungai Jahang (Kinta); Air Terjun Batu Berangkai; Air Terjun Sungai Salu dan Sungai Sahom, Kuala Dipang (Kampar).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!