MAIS jalankan penyelidikan tangani isu jenayah syariah

Emran (dua dari kiri) bersama tetamu undangan serta peserta yang hadir semasa Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Khamis.
Emran (dua dari kiri) bersama tetamu undangan serta peserta yang hadir semasa Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan penyelidikan dalam usaha menangani pelbagai permasalahan membabitkan Enakmen Jenayah Syariah di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Emran Kadir berkata, penyelidikan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan anak syarikat MAIS.

Menurut beliau, penyelidikan itu memberi tumpuan terhadap isu melanda umat Islam seperti pemujaan, mempersendakan ayat al-Quran, menghina Islam dan pihak berkuasa agama.

"Isu lain diberi tumpuan seperti pendapat bertentangan dengan fatwa, penerbitan menyeleweng, LGBT (golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender), keruntuhan institusi kekeluargaan, sosial, pendidikan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Emran berkata, pusat penyelidikan MAIS itu berperanan sebagai 'one stop centre' bagi mendapatkan pandangan ilmuwan dan pakar dalam merungkai permasalahan tersebut dari pelbagai perspektif.

"Alhamdulillah dengan adanya pusat sehenti ini yang bermula tahun 2019 sehingga kini, MAIS telah berjaya menghasilkan kajian penyelidikan berkualiti dan bersifat akademik," tambah beliau.

Kata beliau, sebanyak lapan universiti terkemuka di negara ini turut terlibat sebagai penyelidik luar iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel Berkaitan:

"Turut terlibat ialah Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM)," ujarnya.

Mengulas mengenai simposium itu, Emran memberitahu, tujuan penganjurannya untuk menyebar luas dan memberikan kefahaman serta maklumat terkini berkenaan hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh MAIS.

Beliau memberitahu, hasil pembentangan itu akan diterbitkan oleh MAIS melalui tajuk 'Jurnal Istifadah'.

"Saya berharap hasil penyelidikan dibentangkan pada hari ini dapat dijadikan panduan bagi MAIS atau mana-mana institusi di negeri Selangor ini untuk menyelesaikan isu-isu semasa umat Islam di negeri ini," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!