Operasi 18 klinik kesihatan di Kelantan ditutup sementara
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) terpaksa menutup sementara operasi 18 klinik kesihatan (KK) selepas laluan ke premis itu ditenggelami banjir.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Klinik Kesihatan Tendong, Pasir Mas paling awal ditutup manakala Kok Lanas menjadi premis terbaharu semalam.
"Penutupan operasi itu turut melibatkan 11 buah KK di Pasir Mas, Machang (2), Tanah Merah (2) dan masing-masing sebuah di Kota Bharu, Pasir Puteh serta Tumpat.
“Kita tutup sementara operasi disebabkan laluan fasiliti itu dinaiki air akibat banjir dan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pesakit," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, pesakit kronik dan memerlukan rawatan susulan seperti ibu mengandung atau sudah menghampiri tarikh bersalin dan pesakit menjalani rawatan hemodialisis sudah dikenal pasti lebih awal untuk dirujuk ke hospital.
“Di pusat pemindahan sementara juga ada menyediakan perkhidmatan rawatan.
"Saya jangkakan mungkin ada lagi klinik kesihatan bakal ditutup kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan hingga esok yang mungkin menyebabkan banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!