Sertai Konvensyen My #QuranTime, #SavingTheUmmah

Majlis Khatam Tadabbur My #QuranTime menerima lebih 8 ribu peserta di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pada 8 Oktober 2022.
Majlis Khatam Tadabbur My #QuranTime menerima lebih 8 ribu peserta di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pada 8 Oktober 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk menyertai Konvensyen My #QuranTime #SavingTheUmmah, sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam, pada pukul 9 pagi hingga 4.30 petang, 1 Disember 2024, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, konvensyen yang julung kali diadakan ini bertujuan menjadi platform penyatuan dan transformasi masyarakat berasaskan al-Quran, serta medan untuk membina rangkaian kukuh dalam kalangan peminat al-Quran, asatizah, dan pakar bidang.

“Program sehari ini berbeza dengan My #QuranTime 1.0 dan 2.0 yang bersiaran di televisyen dan media sosial. Ia memperluaskan capaian My #QuranTime kepada khalayak lebih ramai dengan mempromosi budaya membaca dan memahami al-Quran.

“Para pencinta al-Quran, asatizah My #QuranTime dan tokoh inspirasi dapat berkumpul bersama dan bertukar-tukar pengalaman yang berkongsi aspirasi dalam mendukung transformasi masyarakat.

“Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur utama SIBF merupakan rakan rakan strategik WUIF dalam kempen #QuranHour. Kerjasama ini memperkukuhkan usaha bersama dalam menghubungkan hati dengan minda melalui al-Quran.”

Tambah beliau, tema #SavingTheUmmah menekankan penyatuan ummah seperti bangunan kukuh sebagaimana disebut dalam ayat 4, Surah Al-Saff. Mesej utamanya adalah pentingnya penyatuan, keimanan, dan tindakan bersama dengan al-Quran sebagai panduan utama.

Rakaman My #QuranTime kini diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam
Rakaman My #QuranTime kini diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam

Antara pengisian pada konvensyen ini adalah sesi Gema al-Quran Surah al-Saff, Call for Hawariyyun, dan Sesi Tadabbur #SavingTheUmmah with al-Quran (QSI). Ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu dan mengenali lebih dekat asatizah My #QuranTime secara langsung.

Artikel Berkaitan:

“Dengan sambutan yang memberangsangkan, pihak WUIF berharap dapat mengadakan jelajah Konvensyen My #QuranTime di setiap zon termasuk Brunei dan Singapura untuk memperluaskan impaknya dalam membina ummah yang teguh dan bersatu,” jelasnya.

My #QuranTime 1.0 sebanyak 768 episod dibawakan oleh WUIF dengan kerjasama TV AlHijrah semasa tercetusnya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 pada 8 Jun 2020.

Program baca, faham dan amal yang merentasi 604 halaman al-Quran, satu jam setiap hari bersiaran di TV AlHijrah dan platform media sosial My #Qurantime. Bermula My #QuranTime 1.0 dan kini, My #QuranTime 2.0 mendapat 45.5 juta tontonan di TV AlHijrah, TV9 dan Astro Oasis.

Impak besar My #QuranTime adalah pembinaan karakter diri dan kerangka fikir berpaksikan Quran, Solat, Infak (QSI) dengan berpandukan al-Quran dan Hadis. Solidariti penonton dan pelayar My #QuranTime telah mewakafkan RM13,461,835 bagi 249,356 naskhah al-Quran melalui Al-Quran untuk Ummah, Fasa 1 dan Fasa 2.

Wakaf al-Quran daripada ummah untuk ummah ini mengaktifkan lebih 5,000 Quran Corner di pelbagai organisasi, termasuk agensi kerajaan, korporat, institusi pengajian tinggi, masjid, badan bukan kerajaan dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

“Kempen #QuranHour, My QuranTime, Quran Corner dan Rumah Ngaji digerakkan di dalam dan luar negara untuk membumikan al-Quran. Ini sebagaimana disarankan oleh Almarhum Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan setelah perjumpaan bersama para ulama pada Majlis Raja-Raja pada 2018.”

“Dalam tempoh dua tahun ini di bawah projek wakaf konten, pihak WUIF telah menyiapkan 750 episod My #QuranTime yang melibatkan kos RM3.85 juta. Program tersebut diberikan kepada TV9, Astro Oasis dan TV AlHijrah secara percuma. Kini lebih 1,300 episod lagi perlu dirakamkan dalam tempoh tiga tahun dengan perbelanjaan RM6 juta.”

Sumbangan orang ramai turut dialu-alukan melalui Tabung Gerakan al-Quran untuk mendanai Quran Corner, Studio My #QuranTime, program TV, kajian al-Quran dan Hadis, program di lapangan, program digital, buku dan Rumah Ngaji.

Dalam misi menuju visi 1500 Hijrah, "MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah," WUIF, penganjur kempen #QuranHour yang mencapai 7.44 bilion capaian di media sosial dan dianjurkan di lebih 5000 lokasi di Malaysia serta 313 lokasi di 76 buah negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, My #QuranTime tercetus daripada hasil perbincangan dengan mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika menjadi Pengerusi TV AlHijrah.

“Ketika itu, masyarakat berada dalam keadaan resah dan gelisah ketika musim PKP. Kami sedar perlunya satu program berasaskan al-Quran untuk memberi panduan dan ketenangan. Kami berbincang dengan pihak WUIF untuk menghasilkan beberapa episod khas dalam segmen Assalamualaikum bersama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Fazrul Ismail.

“Rentetan kejayaan episod khas itu, ia mendorong perbincangan untuk menjadikan program tersebut sebagai usaha jangka panjang. Bermula dengan satu episod, program ini berkembang kepada 14 episod, sebelum komited kepada konsep unik, iaitu satu hari, satu muka surat al-Quran.

My #QuranTime menjadi ejen perubahan masyarakat terhadap kefahaman al-Quran melalui pendekatan tadabbur. Program ini memperkenalkan kaedah mendalami maksud dan mesej Al-Quran secara tertib dan tartil, dengan pendekatan perlahan tetapi konsisten.

“Kita biasa dengan tadarus dan tilawah, tetapi My #QuranTime membawa masyarakat mendalami al-Quran melalui tadabbur. Satu hari, satu muka surat, bukan hanya untuk khatam bacaan, tetapi untuk khatam tadabbur. Ini yang menjadikan hubungan masyarakat dengan al-Quran lebih erat.”

Tambah beliau, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej My #QuranTime. Melalui platform digital dan siaran langsung di TV, capaian program ini diperluaskan, bukan sahaja kepada Muslim tetapi juga bukan Muslim yang ingin mengetahui maksud di sebalik al-Quran.

Media memberi ruang yang sangat luas untuk memperkenalkan proses tadabbur. Ia menjadi medium dakwah yang pantas, menyentuh penonton baru, dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat global.

“My #QuranTime kini bukan hanya sebuah program, tetapi gerakan yang menyatukan masyarakat melalui al-Quran. Ia mengajak semua untuk terus istiqamah dan bersama dalam perjuangan ini, membawa sinar al-Quran kepada kehidupan seharian,” ujarnya yang juga menjadi penalis jemputan bagi Konvensyen My #QuranTime.

Untuk menyertai Konvensyen My #QuranTime, sila daftar di bit.ly/konvesyenMQT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!