'Saya nak tuntut Pulau Pinang sebab memang hak Kedah' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pasukan pengkaji yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk menyelidik dokumen berkaitan hubungan Kedah dan Pulau Pinang akan membentangkan hasil kajian pada bulan depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil kajian berkenaan akan dijadikan panduan untuk kerajaan negeri meneruskan tindakan selanjutnya dalam menilai semula kadar pajakan lebih tinggi terhadap Pulau Pinang.

Menurutnya, pasukan penyelidik membabitkan pakar perundangan dan sejarawan itu meneliti lebih 20,000 dokumen berkaitan daripada beberapa negara antaranya British Library.

“Pasukan terbabit juga akan berikan beberapa cadangan dari sudut undang-undang, perlembagaan dan sebagainya.

“Kita akan teliti cadangan paling sesuai dengan keadaan semasa. Kita hanya akan buat keputusan pada ketika itu apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi namun kerajaan negeri sanggup meneruskan usaha berkenaan bagi membetulkan naratif sejarah yang telah dipesongkan.

“Kajian tersebut akan berikan satu justifikasi selepas diteliti dalam pelbagai aspek dan fakta.

“Ia bukan semata-mata untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang, tetapi bagi membuktikan hak Kedah ke atas Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga akan meleraikan masalah berkaitan bayaran air Sungai Muda, isu sempadan, bayaran pajakan, nilai sebenar Pulau Pinang yang patut dibayar kepada Kedah, semua itu akan cuba diselesaikan,” jelasnya.

Menurutnya, pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah ialah RM10,000 sebelum dinaikkan kepada dua entiti pembayaran pada 2018, iaitu bayaran khas Pulau Pinang sebanyak RM10 juta dan RM10,000.

“Terbaharu, kerajaan Selangor juga sedang mengkaji untuk tuntut semula Kuala Lumpur. Sekarang RM70 juta dibayar kepada Selangor padahal saiznya kecil saja.

“Apa yang Kedah buat tak salah. Kerajaan negeri ada tanggungjawab., kena lihat kembali dokumen yang mengikat kita dan sejauh mana ikatan itu berkuat kuasa. Saya kena tunaikan tanggungjawab saya, itu yang saya buat, bukan menentang perlembagaan,” katanya.

Dalam ucapan penggulungan sebelum itu, Muhammad Sanusi tegaskan, sejarah tidak boleh dipadamkan dan perlu diperbetulkan sekiranya tersasar daripada fakta sebenar.

“Saya nak tuntut Pulau Pinang sebab memang hak Kedah. Siapa berani padam sejarah itu? Itu hakikat. Kita harap pada masa depan selepas kemukakan fakta-fakta yang tidak dapat disangkal itu, situasi akan berubah,” katanya.

Pad 2021, Kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!